Penutupan kesemua 141 buah kedai itu diumumkan oleh syarikat pemilik rangkaian 7-Eleven Indonesia, PT Modern International dalam kenyataannya kepada Bursa Efek Indonesia baru-baru ini.

PT Modern International sebelum ini dilaporkan te­lah bersetuju menjual perniagaan rangkaian 7-Ele­ven Indonesia kepada PT Charoen Pokphand Restu Indonesia tetapi penjualan saham dan aset itu dibatalkan baru-baru ini setelah kedua-dua syarikat gagal mencapai kata sepakat.

Sehingga September 2016, terdapat 175 kedai 7-Ele­ven di Indonesia yang ha­nya beroperasi di Jakarta dan pada akhir tahun lepas lebih 20 kedai itu telah ditutup secara berperingkat atas alasan tidak menguntungkan.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan kedai 7-Eleven telah pun menutup operasi mereka sejak minggu lepas lagi dengan meletakkan notis mengenai pemberhentian operasi.

Francais rangkaian 7-Ele­ven mula memasuki Indo­nesia pada 2008 dan di­kelolakan oleh PT Modern­Sevel Indonesia, anak syarikat PT Modern International.

Menurut laporan kewangan suku pertama 2017 PT Modern Internasional, hasil penjualan daripada 7-Ele­ven mengalami penurunan sebanyak 37.17 peratus daripada Rp220,66 juta (Rp1 juta lebih kurang RM300) kepada Rp138,62 juta.

Sementara itu, Menteri Per­dagangan Indonesia En­ggartiasto Lukita me­nyangkal dakwaan bahawa penutupan7-Eleven itu menunjukkan kelembapan sektor peruncitan di Indonesia kerana masih banyak kedai runcit 24 jam tempatan beroperasi seperti biasa.

Katanya, penutupan itu adalah disebabkan masalah dalaman dan kerugian yang dialami syarikat tersebut.

Beliau berkata, pihak­nya bercadang untuk bertemu dengan pengurusan syarikat berkenaan bagi mendapat maklumat lanjut mengenai penutupan kedai francais itu. – BERNAMA