If you lose all over again you double your bet again and keep repeating the doubling process and soon you hit a win and then resume your original bet Slots Master
Franchise Highlight

Untung Wasiyyah naik lebih 200 peratus

Kuala Lumpur, 31 Januari 2022,

Wasiyyah Shoppe Bhd, syarikat amanah patuh syariah swasta terbesar di Malaysia, mencatatkan kenaikan 217 peratus bagi keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM3.03 juta bagi tahun kewangan 2020/2021 berakhir 30 Jun 20201 berbanding RM954,682 pada tempoh sebelumnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin, Wasiyyah telah mencatatkan pertumbuhan positif apabila pendapatannya menokok sebanyak 61 peratus dari tahun kewangan sebelumnya iaitu dari RM 12.4 juta kepada RM20.3 juta.

Katanya, sebagai pelopor kaedah hibah dan penyedia hibah terbanyak di Malaysia, hibah menyumbangkan 65 peratus daripada pendapatan syarikat dan dijangka akan terus menjadi penyumbang utama bagi tahun kewangan yang mendatang.

“Tahun kewangan 2020/21 adalah tahun yang paling mencabar kerana pada tahun ini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama dikuatkuasakan di Malaysia apabila pandemik COVID-19 menyerang.

“Ketika suasana tidak menentu ini menjejaskan banyak perniagaan, Wasiyyah telah berjaya melaluinya dengan mengimplimentasi pelbagai strategi digital yang inovatif,” katanya dalam kenyataan.

Ariffin berkata, faktor utama kepada pencapaian ini ialah pengenalan akad hibah dalam taliannya yang diperkenalkan pada bulan Mei 2021 iaitu dua bulan selepas PKP 1.0 dikuatkuasakan.

“Kaedah patuh syariah yang inovatif ini membolehkan pemberi dan penerima hibah berada di mana-mana lokasi di seluruh dunia tanpa perlu bersemuka bagi melaksanakan akad hibah mereka.

“Pengenalan kaedah ini berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan kerana ia memudahkan di samping menghapuskan kebimbangan penyebaran COVID-19 dalam kalangan pelanggannya apabila 65 peratus pelanggan memilih kaedah ini.

“Implimentasi strategi seperti dasar bekerja dari rumah, sistem pembayaran dalam talian yang lebih cekap dan pengenalan pelbagai sistem lain juga menyokong pertumbuhan perniagaan yang drastik bagi tahun kewangan ini,” katanya.

Tambahnya, pencapaian ini adalah yang terbaik dalam sejarah Wasiyyah semenjak ditubuhkan pada 2004.

“Pandemik telah secara signifikan mengubah kelakuan pengguna, struktur ekonomi dan lanskap perniagaan di seluruh dunia.

“Sebagai pemimpin pasaran, Wasiyyah mengenalpasti perubahan ini dan telah, sedang dan akan secara berterusan mengambil segala langkah yang perlu bagi mengevolusikan perniagaannya terutamanya dari sudut pengenalan pelbagai kaedah digital yang inovatif bagi mendepani cabaran ini dan memberi perkhidmatan terbaik kepada ummah,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2022/01/917504/untung-wasiyyah-naik-lebih-200-peratus