If you lose all over again you double your bet again and keep repeating the doubling process and soon you hit a win and then resume your original bet Slots Master
Franchise Highlight

Francais dan Industri Halal

15  April 2014 – Utusan Malaysia

PASARAN industri halal dunia dianggarkan bernilai RM7.44 trilion setahun dan berpotensi untuk terus berkembang seiring dengan kesedaran umat Islam terhadap status halal dalam setiap produk atau perkhidmatan yang digunakan.

Penerokaan sistem francais dalam industri ini masih kecil kerana sebahagian besar jenama francais terkemuka dunia tidak mempunyai status halal sah daripada badan-badan khas yang diiktiraf.

Perkara ini jelas menunjukkan usahawan francais tempatan mempunyai ruang yang cukup luas untuk menerokai pasaran halal dunia memandangkan Malaysia sudah diiktiraf sebagai hab dunia untuk industri berkenaan.

Malaysia mempunyai infrastruktur dan sistem pengurusan halal terbaik dunia selain mendapat sokongan padu oleh kerajaan dengan menawarkan pelbagai insentif serta bantuan kepada pemain-pemain yang terlibat.

Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) ditubuhkan oleh kerajaan bagi menyelaras pertumbuhan industri halal tempatan untuk menjadi peneraju dalam pasaran halal dunia dan telah berjaya mewujudkan tapak halal pertama dunia di Malaysia.

Status halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga diiktiraf dunia sekali gus memberi kelebihan kepada usahawan francais tempatan untuk menerokai pasaran luar negara melalui beberapa kaedah yang telah dijelaskan dalam artikel sebelum ini.

Kelebihan yang dimiliki oleh Malaysia seharusnya digunakan sebaiknya oleh usahawan francais untuk memasarkan jenama mereka ke pasaran dunia terutama ke Asia Barat dan negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam.

Usahawan francais perlu berani keluar dari kepompong pasaran tempatan kerana pasaran dunia menawarkan potensi pertumbuhan jauh lebih pantas serta menjana keuntungan yang lebih baik apabila berjaya menerokai pasaran antarabangsa.

Kerajaan melalui kementerian serta agensi-agensi menganjurkan pelbagai program setiap tahun mempromosikan jenama tempatan di pasaran antarabangsa. Usahawan francais perlu memanfaatkan platform ini sekali gus memudahkan mereka mengenali lebih dekat persekitaran serta peluang pasaran sesebuah negara.

Berkembang melalui platform yang disediakan oleh kerajaan mampu memberi kelebihan kepada usahawan dari segi informasi, kelulusan, insentif, sokongan tambahan dan lain-lain apabila berada di pasaran baru.

Sebagai usahawan francais yang bijak, mereka perlu peka dan pantas menggunakan sebarang saluran yang boleh membantu serta mempercepatkan pengembangan perniagaan mereka kerana untuk bergerak sendiri risikonya sangat besar dan memerlukan masa yang agak lama.

Dalam perniagaan, khususnya perniagaan francais hubungan dan kerjasama merupakan satu daripada aspek penting untuk terus berdaya saing di pasaran tempatan dan juga antarabangsa.

PENULIS adalah Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA)