ZZ Beauty Buka Skim Francais

APRIL 2009 - HARIAN METRO

Oleh Wan Noriza Meor Idris

ZZ Beauty Slim Health, pengeluar produk skrub berasaskan bahan aktif kolagen dan kecantikan, meletakkan sasaran jualan 5,000 botol di seluruh negara untuk tempoh permulaan pengenalan produk terbarunya, IZ Slimming Cream.

Pengarah Urusannya, Ziela Che Noor, berkata selepas tempoh itu, pihaknya mengunjurkan jualan lebih 10,000 botol selepas tiga bulan memandangkan sudah mendapat sambutan memberangsangkan.

Beliau berkata, IZ Slimming Cream adalah formula ekstrak tumbuh-tumbuhan yang berfungsi memecahkan lemak, menyah toksik dan air berlebihan dalam badan, selain menghalang pembentukan lemak berlebihan dan melancarkan serta melawas pembuangan air besar dan kecil.

“Produk ini juga baik untuk digunakan oleh wanita selepas bersalin.

“Produk baru ini berupaya memecah dan mencairkan lemak, membantu membuang angin dalam badan, melancarkan peredaran darah, membantu melangsingkan badan bagi mereka yang menghadapi masalah berat badan berlebihan dan masalah perut buncit yang sesuai untuk lelaki mahupun wanita.

“Perniagaan syarikat diperkukuhkan dengan rancangan untuk menubuhkan sistem francais sekurang-kurangnya satu francais di setiap negeri dan menambah 500 pengedar seluruh negara.

“Ketika ini, kami mempunyai satu stokis dan pengedar di setiap negeri tetapi untuk meluaskan pasaran produk seluruh negara terutama dengan pengenalan produk baru ini, kami merancang menjalankan sistem francais dan membuka peluang kepada sesiapa yang berminat terutama usahawan Bumiputera.

“Penguasaan pasaran ketika ini tertumpu sekitar Lembah Klang. Namun pihak kami bercadang menambah rangkaian pengedar di setiap negeri melalui sistem francais, sekali gus akan membuka peluang pekerjaan ketika krisis ekonomi dunia sekarang,” katanya kepada Bisnes Metro di pusat kecantikannya di Plaza Idaman, Medan Idaman, Kuala Lumpur.

Individu yang berminat sebagai francais atau pengedar, katanya, ditawarkan pakej menarik dengan menerima keuntungan sebanyak 50 peratus melalui syarat ditetapkan syarikat.