Noor Arfa Batek bermula dengan bengkel kecil


NOOR HIJERAH berbincang mengenai batik keluaran Noor Arfa bersama suaminya, Wan Mohd. Ariffin Wan Long (tengah), anaknya Wan Mohd. Azwan (dua dari kiri) dan pereka fesyen Noor Arfa, Shabri Saad (kiri sekali).

4 SEPTEMBER 2006 - UTUSAN MALAYSIA

Mukadimah
Para pencinta batik tanah air tentu amat mengenali jenama Noor Arfa Batek, syarikat pengeluar batik yang terbesar di negara ini sehingga membolehkan syarikat itu tercatat dalam Malaysia Book of Records. Di sebalik nama gemilang itu, pasti ada penggerak utama dan beliau tidak lain dan tidak bukan Pengarah Eksekutif Noor Arfa Batek, Noor Hijerah Hanafiah, 49.

Sentiasa disokong oleh suami tersayang, Wan Mohd. Ariffin Wan Long, 50, mereka membangunkan Noor Arfa Batek sehingga mencapai tahap sekarang.

Hari ini terdapat 200 produk batik Noor Arfa berada di pasaran dengan tenaga kerja lebih 250 orang.

Apa yang membanggakan Kompleks Kraf Noor Arfa yang berharga RM5 juta kini dalam pembinaan di kawasan industri Cendering, Terengganu.

Selain itu, Noor Arfa juga mempunyai cawangan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur; Aked Mara, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan beberapa syarikat francais di seluruh negara.

Usahawan gigih ini dikurniakan tiga orang anak lelaki iaitu Wan Mohd. Azwan, 25, Wan Mohd. Affiz, 22, dan Wan Mohd. Affendi, 17, yang kesemuanya diajar berniaga. Noor Hijerah berasal dari Langgar, Kedah, manakala suaminya dari Terengganu.

Wartawan ROSMAH DAIN dan jurugambar AZMAN GHANI berkongsi pengalaman wanita yang berjiwa kental ini dalam membangunkan Noor Arfa Batek.

Ceritakan serba ringkas mengenai permulaan kerjaya anda dalam perniagaan batik?

Noor Hijerah: Ketika di bangku sekolah, saya memang minat melukis dan pernah mengikuti kursus kraf tangan dan batik di Lembaga Kemajuan Kraftangan Malaysia (LKKM) cawangan Kota Bharu, Kelantan pada akhir tahun 1970-an.

Pada waktu itu juga saya bertemu dengan suami yang merupakan tenaga pengajar di LKKM. Kemudian saya bertugas di sana selama hampir setengah tahun sebelum suami mendorong saya membuka perniagaan batik bersamanya.

Saya mula menubuhkan Noor Arfa pada tahun 1980 di Terengganu selepas beberapa tahun membuka sebuah bengkel kecil di belakang rumah dengan empat orang pekerja. Noor Arfa sendiri merupakan gabungan nama saya dan suami.

Noor Arfa terkenal dengan batik lukis kontemporari. Bagaimanakah anda merealisasikan idea anda dengan pasaran semasa?

Untuk mengelak daripada mengeluarkan produk yang sama dan ingin membuat perubahan, saya mengetengahkan batik lukis. Produk yang banyak dikeluarkan menerusi motif berkenaan ialah baju kaftan.

Pada masa itu ramai pengusaha hanya memasarkan batik sarung, batik cop dan batik terap. Ramai daripada pengusaha batik pada masa itu berasa pelik dengan produk keluaran kami kerana merasakan tiada siapa yang berminat untuk membeli kain batik kami.

Alhamdulillah, pasaran batik lukis tangan ciptaan saya mendapat pasaran yang baik.

Waktu itu batik lukis hanya dijual di Kuala Lumpur dan cuma dibeli oleh orang-orang kenamaan kerana harga batik lukis adalah mahal.

Kini ciptaan batik kami lebih kontemporari dan boleh disuaipadan mengikut cita rasa fesyen semasa dan semua orang boleh memiliki batik pada harga yang amat berpatutan.

Pada tahun 1987, saya mempunyai kilang sendiri di Terengganu dengan pekerja lebih seratus orang.

Apakah pendekatan yang anda gunakan untuk melayani pekerja?

Saya melatih sendiri para pekerja yang saya ambil bekerja kerana mereka tidak mempunyai sebarang ilmu pengetahuan mengenai batik.

NOOR HIJERAH

Saya juga kerap menyertai pelbagai kursus yang diperlukan untuk memperkembangkan pengetahuan dan pengeluaran batik syarikat saya dan berusaha untuk memastikan kejayaan syarikat.

Mengenai rekaan batik, saya tidak mahu menyempitkannya dengan rekaan-rekaan yang terbatas.

Saya tahu untuk berjaya dalam bidang perniagaan tidak sesukar mengekalkan kejayaan berkenaan untuk satu tempoh yang lama.

Saya mempunyai sasaran untuk mengekalkan jenama Noor Arfa Batek sehingga sampai ke anak cucu dan itu mesti saya kotakan.

Saya melayan para pekerja tanpa ada sebarang pilih kasih, tegas dan saya sendiri ada sistem pengurusan yang baik.

Biarpun pekerja berkenaan mungkin terdiri daripada ahli keluarga, tetapi mereka mesti mengikut peraturan kerja yang ditetapkan.

Saya sendiri mesti ikut segala peraturan yang ada agar saya menjadi contoh kepada semua kakitangan.

Bagaimanakah kerjasama anda dengan suami untuk menaikkan prestasi syarikat?

Biarpun saya yang memulakan syarikat, saya tetap menganggap suami saya adalah ketua saya. Saya beranggapan biarpun setinggi mana kedudukan isteri, suami tetap nombor satu.

Suami saya memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Noor Arfa.

Dalam segala urusan kerja saya akan berbincang bersama suami dan membuat keputusan bersama. Saya sendiri suka turun padang dan memantau perkembangan syarikat kerana sebagai ketua, saya tidak boleh duduk diam sahaja. Tugas utama saya sekarang adalah memantau reka cipta.

Apakah rahsia anda berniaga sehingga berjaya?

Saya mengakui sukar untuk sampai ke tahap ini sekiranya tidak disertakan dengan usaha. Banyak ranjau dan cabaran dalam perniagaan yang perlu ditempuhi.

Sebenarnya Noor Arfa betul-betul berjaya dalam tempoh empat tahun ini apabila kita mula memasuki pasaran global di samping dorongan yang kuat daripada isteri Perdana Menteri, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood untuk mempromosikan batik ke arena

antarabangsa.

Kami turut mempunyai butik di London, Los Angeles dan Miami.

Bagaimanakah anda mengekalkan kehalusan dan motif Noor Arfa yang menarik?

Kami memastikan pada setiap bulan rekaan corak dan motif batik kami akan berubah mengikut tema dan cita rasa.

Saya berharap jenama Noor Arfa akan kekal hingga beberapa generasi akan datang dan kami dapat membuka kedai di semua negeri dan mengeksport batik untuk pasaran luar negara seperti ke negara-negara Asean dan Eropah.

Syarikat kami turut mengeluarkan sutera, batik sarung, batik lukis tangan, terap dan cetak.