Jom Makan: Tarikan ayam penyet

08 MAC 2010 - BERITA HARIAN

Resipi turun temurun dari Solo, Jawa Tengah gunakan 16 jenis rempah
BUKAN satu atau dua, tetapi kini restoran ayam penyet memang banyak dibuka di merata tempat berikutan keistimewaan rasanya. Bagi sesiapa yang ingin menikmati rasa 'ayam kampung' penyet atau nasi goreng penyet, silalah berkunjung ke Restoran Ayam Penyet yang terletak di Jalan USJ9/5Q, Subang Jaya, Selangor.
Kata pemiliknya, Matthew Gurdial Singh, ayam penyet biasanya menggunakan ayam biasa tetapi untuk kelainan, beliau memilih menggunakan ayam kampung dalam semua hidangan ayam penyet di restorannya.

Selain ‘ayam kampung’ penyet, restoran yang mula beroperasi sejak 1 Ogos tahun lalu itu turut menyediakan nasi goreng ayam penyet iaitu antara hidangan paling laris pilihan pelanggan setia. “Resipi ayam penyet diolah daripada resipi turun temurun isteri saya, Suryani yang berasal dari Solo, Jawa Tengah dan bagi mendapatkan rasa yang enak, ayam itu direbus menggunakan 16 jenis rempah sebelum digoreng.“Nasi goreng ayam penyet pula resipi Suryani sendiri kerana menurut ceritanya, ketika kecil bapanya sering membawanya ke gerai kecil menikmati nasi goreng ayam penyet. Bagi melengkapkan rasa, nasi goreng ayam penyet yang tiada di tempat lain ini dicampur dengan enam jenis rempah terpilih,” katanya. Matthew berkata, bagi mengekalkan keaslian rasa masakan di restorannya, semua hidangan akan disediakan dan dimasak sendiri isterinya dengan bantuan pekerja.
“Oleh kerana itulah jika anda datang sekarang dan datang kembali enam bulan kemudian, saya jamin rasa dan keenakan ayam penyet serta menu lain di restoran ini masih kekal sama.
“Bagi mengekalkan rasa semula jadi masakan, isteri saya juga selesa menggunakan bahan mentah yang segar dan ditumbuk menggunakan lesung kerana dia percaya, kelainan rasa itu yang menjadi tarikan pada pengunjung,” katanya sambil diakui Suryani.
Selain ayam penyet dan nasi goreng ayam penyet, pengunjung setia yang tidak jemu berkunjung ke restoran milik Matthew turut menyukai tong seng kambing, gulai kambing, mi ayam, bakso, gado-gado dan juga set ayam penyet kanak-kanak selain pilihan 28 jenis hidangan tradisional Jawa Timur dan Tengah, Indonesia yang lain.
Antaranya ialah kepak penyet, udang penyet, talapia penyet, ikan keli penyet, begedel, sayur pecal dan bubur kacang hijau.
“Tidak semua orang tahu menyediakan tong seng kambing dan ia adalah menu masakan dari Jawa Tengah dimasak menggunakan kicap ABC. Rasanya manis-manis dan ada rasa pedas sedikit manakala daging kambing begitu enak serta lembut.
“Bagi sesiapa yang keliru, resipi tong seng kambing itu tiada dijual di kebanyakan restoran ayam penyet. Bagi sesiapa yang ingin mencuba, bolehlah datang ke sini,” katanya tersenyum. Ketika perbualan berlangsung petang itu, Matthew turut menghidangkan segelas air asam jawa yang segar. Katanya, air asam jawa adalah antara air pilihan pengunjung kerana selain rasanya yang asli, asam jawa juga bagus untuk kesihatan.
Benar seperti dikata kerana rata-rata pengunjung Restoran Ayam Penyet memesan air asam jawa atau set ayam penyet didatangkan bersama nasi, sup, sambal hijau dan merah, buah-buahan dan pilihan air sama ada teh ‘O’ ais, sirap atau asam jawa.
“Selain itu, di sini juga ada jus avokado, teh sosso, air halia wangi dan soda gembira menyerupai air bandung tapi dicampur soda,” katanya sambil memberi jaminan makanan di restorannya adalah halal.
Kira-kira 70 peratus pelanggannya adalah mereka yang beragama Islam, manakala selebihnya adalah Cina dan India selain bangsa asing seperti Indonesia dan Eropah.
Pengalaman sebagai guru bahasa Inggeris di Indonesia selama 10 tahun menemukan Matthew dan isterinya. Kebetulan Suryani berkebolehan memasak, malah kakaknya juga memiliki gerai menjual makanan di Solo.
“Jadi, usah khuatir kerana rasa masakannya asli apatah lagi Suryani sendiri yang akan turun ke dapur menyiapkan pesanan pelanggan,” katanya sambil memberitahu turut menyediakan perkhidmatan katering untuk jamuan di rumah atau pejabat.
Pelanggan yang mahu membuat penghantaran terus di sekitar USJ, dengan syarat, pembelian harus melebihi RM50.
Tahun depan, Matthew mempunyai perancangan untuk membuka francais Restoran Ayam Penyet ke seluruh negara. Bagi mengelakkan kekeliruan, restoran itu juga akan diberi nama baru iaitu Resto Ayam Penyet.

Info
Restoran Syam Penyet

Konsep: Masakan Jawa tengah
Lokasi: USJ9 Taipan Subang
Tel: 016-2107991 atau 012-9100437