D-five Mahu Buka 70 Cawangan Baru

UTUSAN MALAYSIA-24 OGOS

D-Five Convenient Store (M) Sdn. Bhd., pemegang francais kedai runcit serbaneka yang beroperasi 24 jam sehari D-Lima, bakal membuka 70 buah cawangan baru menjelang tahun 2015.

Pengarah Urusannya, Safiai Zakaria berkata, sebagai langkah awal peluasan operasi, 15 cawangan akan di buka dalam fasa pertama sehingga 2010 manakala bakinya dalam fasa kedua.

Beliau berkata, selain memasuki pasaran tempatan, pihaknya juga merancang meluaskan perniagaan francais D-Lima ke negara-negara Asia Barat.

"Konsep perniagaan kami sama seperti mana-mana kedai serbaneka antarabangsa yang beroperasi 24 jam sehari, cuma apa yang berbeza adalah semua barangan jualan adalah produk yang ditanggung halal," katanya di sini baru-baru ini.

D-Lima diasaskan daripada sebuah kedai runcit yang diusahakan secara perniagaan keluarga yang dikenali 'Kedai Runcit Zakaria Omar' sejak tahun 1978 dan beroperasi di Permatang Pauh sebelum diubah mengikut peredaran masa.

Cawangan pertama D-Lima ialah di Sembilang Seberang Jaya dan kini memiliki 39 buah cawangan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Menurut Safiai, selaku pemegang francais, pihaknya mengalu-alukan penyertaan orang ramai bagi mendalami bidang peruncitan ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan.

Katanya, pembabitan pelbagai agensi kerajaan seperti Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) menerusi skim peruncitan Prosper yang memberi bantuan pembiayaan turut membantu bagi menjayakan objektof itu.

Beliau menambah, dengan adanya rangkaian tersebar, pihaknya berharap dapat membentuk jaringan pembekal atau usahawan tempatan bagi memasarkan produk-produk keluaran mereka.

"Kita tidak bersaing dengan mana-mana jenama kedai serbaneka seperti 7-Eleven kerana objektif kita adalah berlainan walaupun dari segi persamaan perniagaan adalah perniagaan runcit," ujarnya lagi.