Bonia perkenal kasut klasik fesyen 60-an

28 APRIL 2006 - HARIAN METRO


BONIA Corporation Berhad yang terkenal dengan produk barangan kulitnya, memperkenalkan satu lagi keluaran kasut klasik Bonia yang terbaru.

Rekaan menonjolkan fesyen 60-an dan 70-an iaitu dengan memberi tumpuan lebih di kawasan jejari kaki penggunanya.

Potongan runcing atau berbentuk rata menjanjikan gaya dan keselesaan dari Bonia dalam menjadi pilihan aksesori perhiasan wanita.

Penambahan lapik kasut memberi keselesaan pada tapak kaki tanpa mengganggu rekaan fesyen mahupun potongan tipis kasut tersebut.

Tumit kasut unik setinggi 2 hingga 2 1/2 inci dibaluti khas dengan kulit untuk memberi rupa semula jadi yang membawa kesan bijiran kayu-kayan.

Setiap kelainan rekaan memberi watak yang tersendiri, sama ada melambangkan potongan biasa atau bertali satu dengan warna-warna seperti kuning air, coklat dan kuning cair.

Koleksi kasut klasik ini boleh didapati dari harga bermula RM189 ke atas dan koleksi itu dijual di semua butik-butik Bonia dan gedung-gedung yang terpilih di seluruh negara.