Petaling Jaya, 16 Jun 2022,
Peneraju serantau jenama teh gaya hidup, Tealive diundi sebagai Jenama Paling Dipercayai di Malaysia melalui tinjauan bebas dalam kalangan 8,000 pengguna yang merangkumi lima pasaran serantau yang diiktiraf oleh Asia Reader’s Digest.
Dalam menamakan Tealive sebagai pemenang mutlak bagi kategori ‘bubble tea’, Reader’s Digest menyatakan bahawa kemenangan Tealive adalah jelas dengan bilangan undian tertinggi meninggalkan pesaing terdekatnya jauh di belakang.
Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn. Bhd., Bryan Loo berkata, anugerah tersebut diterima berdasarkan kaedah tinjauan dan ia membuktikan jenama itu lebih dekat dengan masyarakat berbanding jenama minuman lain.
“Kami akan terus melahirkan idea baharu dan kaedah berinovasi demi memenuhi segala keperluan dan hasrat pelanggan. Kami akan berpegang teguh kepada akur janji jenama kami iaitu ‘Bukan Sekadar Teh’ untuk menggembirakan peminat teh di mana sahaja
“Kejayaan ini merupakan testimoni bahawa rakyat Malaysia boleh mencipta produk bertaraf antarabangsa, kerana kami merupakan jenama yang ‘Lahir di Malaysia, Dibangunkan untuk Dunia.’ Anugerah ini akan menjadi motivasi untuk kami terus berinovasi dan memenuhi keinginan setiap jenis selera melalui kepelbagaian menu yang ditawarkan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Tealive telah menerima anugerah bagi kecemerlangan pemasaran, keunggulan e-dagang, kecemerlangan dalam pengurusan bakat dan pematuhan halal.
Anugerah Jenama Paling Dipercayai Asia Reader’s Digest adalah berasaskan kepada “Tinjauan Jenama Dipercayai” yang merupakan tinjauan beraudit yang dilaksanakan oleh syarikat penyelidik pasaran bebas, Catalyst Research.
Tinjauan ini mengenal pasti jenama yang paling dipercayai oleh pengguna dan dirujuk sebagai penanda aras di pasaran. Ia bereputasi kukuh sejak sekian lama sebagai kayu ukur utama dalam menentukan tahap kepercayaan sesuatu jenama di Malaysia dan di seluruh dunia.
Edisi anugerah kali ini merangkumi saiz sampel seramai 8,000 individu dari seluruh Malaysia, Singapura, Filipina, Hong Kong dan Taiwan yang diminta menamakan jenama yang paling dipercayai serta menilai jenama tersebut mengikut enam ciri penting iaitu kebolehpercayaan dan kredibiliti, kualiti, nilai, kefahaman keperluan pelanggan, inovasi dan tanggungjawab sosial.
Memasuki pasaran Malaysia sejak Februari 2017, Tealive kini telah berkembang sebagai jenama teh gaya hidup terbesar di Asia Tenggara.
Hari ini ia memiliki lebih daripada 750 buah cawangan di pelbagai negara termasuk UK, Australia, Brunei, Myanmar, Kemboja, Vietnam dan Filipina selain merupakan pembekal minuman “Dibuat-Mengikut-Pesanan” terbesar di Malaysia. – UTUSAN
Sumber: Utusan Malaysia
Artikel Penuh: https://www.utusan.com.my/ekonomi/2022/06/tealive-dianugerah-jenama-paling-dipercayai/