1 Disember 2021, Putrajaya,
Kerajaan bakal melanjutkan lagi Program Pembangunan Francais Mikro dan Mampu Milik yang diperkenalkan awal tahun ini bagi membantu penggiat industri berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan sambutan yang diterima adalah sangat menggalakkan terutama dalam kalangan golongan berpendapatan B40 dan M40.
“Justeru, pihak kerajaan berhasrat untuk meneruskan lagi program ini pada tahun depan dan memastikan lebih ramai rakyat selain francaisor sendiri akan menerima manfaat,” jelasnya ketika merasmikan Malam Anugerah Francais 2021 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Persatuan Francais Malaysia (MFA).
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Presiden MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan.
Ismail Sabri berkata, penerusan program berkenaan ekoran kementerian tersebut menerima permohonan melebihi nilai dana RM4.5 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan.
“Sebenarnya sebanyak 144 permohonan daripada francaisor dan potensi francaisi yang bernilai lebih RM22 juta telah diterima untuk diproses teliti oleh kementerian berkenaan. Bagaimanapun berdasarkan kepada kekangan peruntukan tahun semasa yang terhad, hanya sebanyak lapan francaisor dan 29 francaisi yang telah pun dapat diluluskan kerajaan
Ketika ini tambah beliau, jumlah perniagaan francais berdaftar dengan kementerian tersebut ialah 1,093 syarikat termasuk 616 daripadanya merupakan jenama usahawan francais tempatan.
“Memang hasrat kerajaan untuk terus sokong pembangunan dan pertumbuhan industri ini demi jangka masa panjang agar mampu muncul sebagai sektor utama pendapatan negara. Contohnya peruntukan RM3 juta lagi bagi mendorong penggiat industri itu dapat berkembang lebih pesat pada tahun depan dan berharap ia mampu membantu mereka.
“Dana khusus itu turut berdasarkan prestasi cemerlang sektor francais pada 2019 yang telah mencatatkan RM13.3 bilion iaitu naik 19 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
Artikel Penuh: https://www.utusan.com.my/terkini/2021/12/program-francais-mikro-mampu-milik-diteruskan/