Kuala Lumpur, 4 Jun 2025
Satu platform strategik bakal diperkenalkan bagi membantu jenama Malaysia menembusi pasaran United Kingdom (UK) secara lebih menyeluruh menjelang 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia menerusi satu cadangan dikemukakan untuk menjadikan sektor francais sebagai fokus utama Malaysia-UK SME Working Group di bawah Jawatankuasa Bersama Perdagangan dan Ekonomi (JETCO).
Dalam lawatan kerja ke London, beliau mengadakan Dialog Perniagaan Francais: Malaysia-UK, dalam usaha memperkukuhkan lagi hubungan ekonomi dua hala khususnya dalam sektor francais yang semakin berkembang pesat.
“Malaysia komited memperkasa ekosistem francais negara melalui pelaksanaan Dasar Francais Negara 2030, pembiayaan Majlis Amanah Rakyat (MARA), geran digital oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dan sokongan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berterusan.
“Sasaran kita adalah jelas untuk mencapai RM100 bilion jualan francais menjelang 2030. Malaysia turut membuka pintu kepada francais dari UK untuk meneroka potensi besar pasaran ASEAN melalui Malaysia.
“Dalam masa sama, kita berusaha memperluas lagi kehadiran jenama francais Malaysia ke pasaran UK yang bernilai lebih £19 bilion setahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain sektor francais, Ahmad Zahid juga mempengerusikan Sesi Meja Bulat Pelancongan bersama penggiat industri pelancongan UK sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Beliau berkata Putrajaya melihat UK sebagai pasaran berimpak tinggi dan sasaran kerajaan untuk meningkatkan ketibaan pelancongan dari negara itu kepada 500,000 orang menjelang 2026 berbanding 390,000 tahun ini.
“Saya turut melancarkan kempen antarabangsa VM2026 di London. Pelancaran ini bukan sekadar simbolik tetapi mencerminkan komitmen Malaysia untuk mempromosikan sektor pelancongan negara di pentas global.
“Ia dengan penekanan terhadap konsep pelancongan lestari, budaya mesra pelancong serta pengalaman unik seperti inap desa yang menonjolkan keunikan kehidupan luar bandar Malaysia.
“Saya yakin pendekatan strategik ini akan memperkukuh lagi hubungan dagang dan pelancongan Malaysia-UK, serta menjana manfaat langsung kepada usahawan, pelabur dan rakyat kedua-dua negara,” ujarnya lagi.
Sumber: BuletinTV3
Artikel Penuh; https://www.buletintv3.my/nasional/perkenal-platform-strategik-bantu-jenama-tempatan-tembusi-uk/