Kuala Lumpur, 14 Ogos 2025,
Persatuan Francais Malaysia (MFA) terus memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik Kerajaan dalam mempromosikan industri francais di dalam dan luar negara. Sebagai satu-satunya persatuan francais di Malaysia yang diiktiraf oleh Asia Pacific Franchise Confederation (APFC) dan World Franchise Council (WFC), MFA komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mempromosikan francais Malaysia ke peringkat global serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap potensi industri ini seperti penganjuran Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM), Misi Perdagangan Antarabangsa, padanan perniagaan dan penyertaan dalam program domestik.
Pada 21 hingga 23 Ogos ini, MFA akan menyertai Franchise Expo Malaysia yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Sepanjang tiga hari program ini, MFA akan menyediakan pelbagai informasi dan khidmat nasihat berkaitan francais kepada para pengunjung, khususnya usahawan yang berminat menceburi bidang ini.
Terdahulu, pada Januari lalu, MFA telah menyertai Pernas International Franchise Festival (PIFF) anjuran Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), diikuti penyertaan dalam Hari Koperasi Negara peringkat Negeri Melaka pada Julai, bersama beberapa ahli MFA. Penglibatan ini bertujuan memperluaskan capaian promosi francais kepada masyarakat di seluruh negara, selain menjadi platform strategik untuk memperkenalkan jenama ahli MFA kepada pengunjung. Ia juga merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan MFA dalam mempromosikan ahli-ahlinya agar terus berkembang dan menembusi pasaran yang lebih luas.
Selain aktiviti pameran, MFA turut konsisten melaksanakan program-program latihan francais yang menjadi prasyarat penting bagi bakal usahawan sebelum menceburi bidang perniagaan ini. Siri latihan yang ditawarkan adalah komprehensif, merangkumi setiap peringkat, daripada asas pengetahuan francais sehingga ke tahap kemahiran lanjutan. Program ini dikendalikan oleh panel penceramah berpengalaman serta pakar industri yang berkongsi pengetahuan, tips, dan strategi perniagaan yang relevan. Sehingga kini, MFA telah memberi pendedahan kepada lebih daripada ratusan ribu usahawan dan bakal usahawan francais melalui aktiviti yang dianjurkan ini.
Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata, MFA adalah satu-satunya persatuan yang diberi mandat oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebagai badan pelaksana bagi aktiviti yang menyokong pembangunan industri francais. MFA menyokong sepenuhnya inisiatif KUSKOP dan PERNAS termasuk pelaksanaan Dasar Francais Negara 2030. Kami yakin dasar ini bukan sahaja akan memperkukuh industri francais, malah meningkatkan keberkesanan kawal selia, seterusnya membina sektor yang lebih dinamik dan berdaya tahan di peringkat antarabangsa.
“Tambahan pula potensi industri francais Malaysia boleh diperkukuh melalui pengintegrasian kelebihan kompetitif negara seperti status Malaysia sebagai hab halal global, kepelbagaian dan keunikan budaya, serta adaptasi teknologi baharu termasuk Kecerdasan Buatan (AI). Sinergi antara industri francais, pasaran halal, pelancongan dan teknologi akan mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih inklusif, inovatif dan berdaya saing, sekali gus membuka peluang baharu kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran serantau dan antarabangsa,” tambahnya.
Dengan pelbagai program yang dirancang pada tahun ini, MFA optimis industri francais akan terus berkembang pesat, menjadi salah satu penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara, serta membuka peluang perniagaan dan pekerjaan yang lebih luas kepada rakyat Malaysia.
Artikel Penuh: https://www.bernama.com/bm/press/news.php?id=2456653
Sumber: Bernama

















