London, 4 Jun 2025,
MALAYSIA terus mengorak langkah ke hadapan dalam memperkukuh hubungan ekonomi dua hala bersama United Kingdom (UK) menerusi sektor francais dan pelancongan yang semakin rancak berkembang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha ini merupakan antara agenda utama dalam lawatan kerja beliau ke ibu kota Britain yang turut menyaksikan penganjuran Dialog Perniagaan Francais: Malaysia-UK.
Menurut beliau, dialog tersebut menjadi platform penting dalam memperkasakan ekosistem francais negara, selaras dengan pelaksanaan Dasar Francais Negara 2030.
“Kerajaan komited memperkukuh sektor ini melalui pembiayaan oleh MARA, geran digital oleh MDEC serta latihan TVET yang berterusan. Sasaran kita adalah untuk mencapai jualan francais bernilai RM100 bilion menjelang tahun 2030,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, Zahid berkata, Malaysia membuka pintu kepada francais dari United Kingdom untuk meneroka potensi pasaran ASEAN melalui negara ini.
Beliau berkata, jenama francais Malaysia juga sedang diperluas ke pasaran UK yang dianggarkan bernilai lebih £19 bilion setahun.
“Kita telah mengemukakan cadangan agar sektor francais dijadikan fokus utama dalam Malaysia–UK SME Working Group di bawah Jawatankuasa Ekonomi dan Perdagangan Bersama (JETCO), yang dijangka mula beroperasi menjelang 2026,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mempengerusikan Sesi Meja Bulat Pelancongan bersama pemain industri pelancongan UK bagi memperkukuh kerjasama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Katanya, United Kingdom merupakan pasaran strategik yang penting dan Malaysia menyasarkan peningkatan ketibaan pelancong dari negara itu kepada 500,000 orang pada tahun 2026, berbanding 390,000 pada masa ini.
Beliau turut melancarkan kempen antarabangsa VM2026 di London, yang menurutnya, bukan sekadar simbolik tetapi bukti kesungguhan Malaysia dalam mempromosi sektor pelancongan negara di peringkat antarabangsa.
“Penekanan kita adalah kepada pelancongan lestari, budaya mesra pelancong serta pengalaman unik seperti inap desa yang menonjolkan keindahan dan keaslian kehidupan luar bandar Malaysia,” tambahnya.
Zahid berkata, pendekatan strategik ini dijangka mampu menjadikan Malaysia sebagai jambatan budaya, alam dan hospitaliti yang bukan sahaja menghubungkan dua negara tetapi juga membuka lebih banyak peluang kepada usahawan, pelabur dan rakyat di kedua-dua negara.
Sumber: Edisi-9
Artikel Penuh: https://www.edisi9.com.my/2025/06/malaysia-uk-kukuh-kerjasama-bidang-francais-pelancongan/