29 November 2021, Petaling Jaya,
Manakan tidak, dengan tawaran cucian lebih pantas, menjimatkan masa berbanding mesin basuh konvensional serta harga yang berpatutan, kini industri dobi semakin rancak berkembang.
Selepas kebenaran rentas negeri dan aktiviti sosial dibenarkan, kebanyakan mereka yang bercuti amat memerlukan khidmat dobi bagi mengurangkan beban luggage selain permintaan tinggi apabila musim hujan berpanjangan.
Bagi mendalami selok-belok industri ini dan bagaimana ia dijangka kekal bertahan semasa musim pandemik, Wartawan Kosmo!, Ahmad Shaherman Shamsuri berkesempatan menemu bual pengasas merangkap Pengarah Urusan City Coin Laundry, Paul Ang di pejabatnya. baru-baru ini.
Kosmo!: Apakah cabaran yang dihadapi pemain dalam industri dobi ketika negara dilanda pandemik Covid-19?
ANG: Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac 2020, industri dobi tidak terkecuali mengalami kesannya, paling ketara adalah dari segi pendapatan kerana semua cawangan terpaksa dihentikan sementara.
Namun, penutupan operasi itu tidak lama sekitar sebulan setengah sahaja, selepas itu kami dibenarkan beroperasi semula.
Pada awalnya pelanggan kurang kerana mereka takut untuk keluar akibat kes jangkitan Covid-19 yang agak tinggi. Kesan daripada itu, pendapatan syarikat dan francaisi kami merosot hampir 50 peratus.
Bagaimanakah anda mengharungi tempoh PKP dan apakah langkah yang diambil untuk memastikan syarikat terus beroperasi?
Kami telah melaksanakan pelbagai langkah semasa tempoh pandemik antaranya adalah dengan memberi diskaun 50 peratus selama enam bulan berturut-turut ke atas pembelian barangan, pinjaman dan pelbagai inisiatif lain yang bersesuaian kepada francaisi.
Selain itu, kami juga membantu francaisi berunding dengan penyewa kedai untuk pengurangan kadar sewa supaya mereka dapat meneruskan perniagaan semasa musim pandemik.
Selain itu, saya sebagai Pengerusi Dobi Layan Diri Malaysia turut mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan dan antara isu yang dibincang dan dipohon kepada kerajaan adalah pertimbangan masa operasi dobi layan diri dilanjutkan dan kita berjaya laksanakannya.
Selepas kerajaan membenarkan rentas negeri dan semua aktiviti sosial dibuka semula, adakah industri dobi sudah kembali pulih?
Secara keseluruhan, industri ini berada pada landasan yang baik untuk kembali pulih seperti sebelum pandemik.
Tambahan pula, industri ini telah diklasifikasikan sebagai perkhidmatan perlu atau essential service pada Jun lalu oleh kerajaan.
Sejak itu, pelanggan bertambah yakin untuk menggunakan perkhidmatan kami dengan penawaran pelbagai servis seperti pemberian sabun percuma bergred halal sejak dari dahulu lagi (sejak 2013), Inisiatif ini juga telah menarik minat pelanggan untuk menggunakan khidmat kami.
Apa yang boleh saya katakan pendapatan syarikat telah pulih hampir 50 peratus dan ia sudah kembali kepada landasan asal.
Bagaimanakah anda melihat industri ini pada masa hadapan?
Saban hari jumlah pelanggan yang menggunakan khidmat dobi kini semakin bertambah.
Melalui kajian yang kita lakukan, kebanyakan pelanggan lebih suka menggunakan khidmat dobi kerana perkhidmatan tersebut menjimatkan masa berbanding menggunakan mesin basuh di rumah.
Sebagai contoh, jika membasuh di rumah, mereka mengambil masa lebih sejam untuk cucian siap, itu belum dicampur masa untuk pengeringan. Namun, jika menggunakan khidmat dobi layan diri, sejam itu sudah mencukupi malah lengkap dengan proses pengeringan.
Mungkin atas faktor penjimatan masa inilah, ramai yang lebih suka menggunakan khidmat dobi layan diri.
Bagi individu atau usahawan yang ingin menceburi bidang ini, apakah peluang yang disediakan oleh LaundryBar?
Kami menawarkan dua skim pinjaman yang tersedia membantu mereka yang berminat dalam bidang ini, salah satunya BYOB atau Be Your Own Boss iaitu khusus kepada mereka di bawah umur 40 tahun dengan tawaran pinjaman sehingga 90 peratus.
Tawaran kedua adalah skim pembayaran francais pula menawarkan pinjaman 70 peratus. Kedua-dua skim pembiayaan ini adalah kerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).
Modal permulaan untuk menjadi francaisi adalah RM350,000.
Apakah perancangan LaundryBar pada masa depan?
Ketika ini, kami mempunyai 412 cawangan di Malaysia, Thailand (100), Brunei (11) dan Turki (2).
Kami merancang untuk menambah rangkaian dobi di negara sedia ada serta membuka beberapa rangkaian di negara baharu antaranya Filipina, Vietnam dan Myanmar.
Selain itu, kami juga berhasrat untuk menembusi pasaran ke negara Timur Tengah serta India dan Bangladesh.
Sasaran kami adalah untuk membuka sekurang-kurangnya 50 cawangan setiap tahun meskipun situasi pandemik masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk berakhir.
Adakah dobi layan diri akan ‘membunuh’ industri dobi konvensional pada masa hadapan?
Bagi saya industri dobi layan diri dan dobi konvensional masing-masing ada peranan tersendiri dan perkhidmatan yang disediakan juga berlainan.
Contohnya, dobi kovensional menyediakan khidmat cucian kering untuk jenis kain tertentu seperti sutera serta karpet. Kami tidak menyediakan khidmat seperti itu.
Oleh itu, setakat ini industri dobi konvensional masih relevan dan tidak akan terjejas.
Selaras dengan perkembangan teknologi terkini, apakah pembaharuan yang telah dilakukan oleh syarikat untuk menarik minat pelanggan?
Kami telah membangunkan sebuah aplikasi bagi memudahkan pembayaran tanpa tunai yang dikenali sebagai LB Pay.
Aplikasi ini boleh dimuat naik menerusi Google Play Store dan Apple App Store.
Sejak dilancarkan pada 2019 dan sehingga kini, kita mempunyai lebih 60,000 pengguna dan lebih 100,000 pendaftar.
Kemudahan ini memberi tambah nilai kepada pelanggan yang cenderung menggunakan perkhidmatan tanpa sentuh.