Kuala Lumpur, 10 Mei 2022,
Lima jenama francais negara di bawa ke misi perdagangan francais di Jeddah, Arab Saudi pada 7 hingga 9 Mei lalu.
Jenama itu ialah CheeseU, CIC Where Leaders Are Born, Genius Aulad, US Pizza dan Siti Khadijah.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, misi perdagangan itu adalah sebahagian daripada Program Pembangunan Francais Dipertingkatkan (EFDP) yang diluluskan jawatankuasa Majlis Export Francais (FRANEX) tahun lalu. Katanya, ia turut disertai wakil Persatuan Francais Malaysia (MFA).
“Misi berkenaan bertujuan mendedahkan jenama francais negara kepada pasaran Asia Tengah terutama Arab Saudi menerusi padanan perniagaan dan rakan kongsi perniagaan.
“Secara keseluruhannya, jenama francais tempatan berkembang pesat di Asia Tenggara dengan pembabitan 68 jenama di 74 negara dan ia dijangka terus berkembang pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Bernama melaporkan industri francais di Malaysia merekodkan jumlah jualan RM13 bilion pada 2021, meningkat 16.4 peratus daripada RM11.16 bilion yang dicatatkan pada 2018.
Di Jeddah, delegasi itu turut melawat Lulu Hypermarket Marwah untuk mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan Lulu International Group dalam sektor peruncitan serta meluaskan jangkauan dan pembangunan produk negara di pasaran Timur Tengah melalui Lulu Hypermarket di Arab Saudi.
Rosol berkata, ia adalah pendekatan sama menang, dengan pihaknya mengalu-alukan pengendali runcit dan borong terkemuka asing untuk menjalankan perniagaan mereka di Malaysia.
“Pada masa sama, membawa produk dan jenama Malaysia dalam operasi mereka di luar negara,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Artikel Penuh: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/05/840389/jenama-francais-negara-diperkenal-di-asia-tengah