29 May 2014 – Malaysia Gazette

Datuk Mohd. Latip Sarrugi menerima wang sumbangan dari wakil Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd. yang disumbangkan kepada MFA sambil diperhatikan oleh Hasan pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan MFA di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 29 Mei 2014. Foto: ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR.
Industri francais dijangka menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara sebanyak RM25.6 bilion pada tahun 2015.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, sasaran jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak RM24.6 bilion yang disumbang pada tahun lalu.
Jelasnya, usaha kerajaan dalam membantu mengembangkan industri francais di negara ini kini semakin menghasilkan kejayaan.
“Sehingga 24 Mei lalu, sejumlah 726 syarikat francais terdiri pelbagai sektor telah didaftarkan di negara ini. Industri ini juga telah memberi sumbangan besar kepada KDNK negara sebanyak RM24.6 bilion pada tahun lalu.
“Jumlah itu bersamaan 2.5 peratus yang telah menyumbang kepada pendapatan negara melalui industri francais,” katanya.
Hasan berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Francais Malaysia (MFA) di PWTC di sini hari ini.
Beliau menambah, kerajaan memerlukan sokongan dan komitmen penggiat industri dalam usaha membina industri francais yang kukuh dan lebih berdaya maju.
Katanya, ini kerana ia bakal menjadi penanda aras baharu untuk merealisasikan matlamat akhir Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN) Tahun 2012-2016 menjadikan Malaysia sebagai hub francais Asia Tenggara menjelang 2020.
“PIPFN merangkumi aspek-aspek meningkatkan daya saing di Malaysia di dalam dan luar negara serta melaksanakan transfirmasi perniagaan melalui francais.
“Pelan ini turut membangunkan kecekapan modal insan dan mengukuhkan ekosistem francais yang lebih dinamik di negara ini,” katanya.–MalaysiaGazette