4 Nov 2025,
SATU usahasama strategik telah dimeterai antara Hypermax Academy Sdn Bhd dan Little Caliphs® International Sdn Bhd baru-baru ini bagi melaksanakan Program Latihan Taekwondo Seni Bela Diri di semua cawangan Little Caliphs® International Sdn Bhd di seluruh negara.
Program ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh Hypermax Academy Sdn Bhd, sebuah institusi latihan seni bela diri yang telah beroperasi sejak tahun 2012 di bawah kepimpinan Jefri Safry, selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Mohd Abdul Faiz Safry sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO).
Turut hadir semasa sesi pemeteraian usahama ialah Pengurus Besar Operasi Little Caliphs® International Sdn Bhd, Ahmad Farhan dan Pengurus Kanan Operasi Tadika, Kartiqa Ahad.
Jefry berkata, usahasama itu bertujuan untuk memperkenalkan latihan taekwondo kepada kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun, selaras dengan proses pembangunan menyeluruh kanak-kanak di peringkat prasekolah.
Beliau berkata, melalui program ini, kanak-kanak bukan sahaja berpeluang meningkatkan kemahiran motor halus dan motor kasar, malah turut diterapkan aspek disiplin, keberanian dan keyakinan diri dalam kalangan murid.
“Sejak penubuhannya, pihak Hypermax Academy telah berjaya melaksanakan pelbagai program latihan taekwondo di beberapa institusi pendidikan awal, dengan hasil yang positif terhadap perkembangan sahsiah dan daya tumpuan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Program ini juga dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kanak-kanak terhadap gajet serta membentuk disiplin diri yang tinggi.
Menariknya, Hypermax Academy turut membangunkan silibus khas taekwondo untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun dengan pendekatan yang mesra kanak-kanak serta diselitkan elemen Islamik sebelum sesi latihan dimulakan.
Jefry berkata, pendekatan ini sejajar dengan misi Little Caliphs® International Sdn Bhd dalam mengislamisasikan pendidikan awal kanak-kanak melalui nilai-nilai murni dan pembentukan akhlak.
Selain itu, katanya, pelaksanaan latihan ini turut berperanan sebagai persediaan awal bagi murid-murid sebelum melangkah ke alam persekolahan rendah, memandangkan taekwondo kini turut ditawarkan sebagai aktiviti kokurikulum di banyak sekolah rendah.
“Ia sekali gus membolehkan pelajar menyambung latihan mereka dengan tali pinggang dan kemahiran sedia ada yang diperoleh semasa di peringkat tadika,” katanya.
Selain itu, katanya, pelaksanaan program ini turut diharap dapat menjadi salah satu usaha pencegahan terhadap gejala buli melalui penerapan nilai-nilai keyakinan diri, kawalan emosi dan keberanian yang dipupuk melalui latihan seni bela diri taekwondo.
Sementara itu Ahmad Farhan berkata, bagi fasa pertama, kerjasama antara Hypermax Academy dan Little Caliphs® International Sdn Bhd akan dilaksanakan di 46 cawangan utama di seluruh Malaysia, sebelum diperluaskan ke semua 500 cawangan francais di fasa seterusnya.
“Usaha ini selaras dengan matlamat untuk melahirkan generasi muda yang sihat, berdisiplin dan berkeyakinan tinggi,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Artikel Penuh: https://www.sinarharian.com.my/article/755346/bisnes/hypermax-academy-little-caliphsreg-international-jalin-usahasama-strategik

















