Kuala Lumpur, 19 Okt 2025,
Jenama telekung, Siti Khadijah (SK) di bawah naungan Enda Group Sdn Bhd terus memperkukuh komitmennya terhadap pemberdayaan wanita menerusi pelaksanaan Akademi Siti Khadijah, sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi fokus kepada pembangunan komuniti wanita.
Program tersebut dilaksanakan dengan sokongan strategik Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan menjadi bukti nyata kesungguhan SK dalam memacu pembangunan kemahiran wanita, khususnya dalam kalangan ibu tunggal dan golongan B40.
Akademi ini menyasarkan latihan kemahiran berstruktur merangkumi jahitan asas, bimbingan keusahawanan dan penilaian daya saing, dengan harapan melahirkan wanita berdikari yang mampu menyumbang kepada ekonomi keluarga dan komuniti.
Program intensif selama dua hari itu berlangsung pada 11 dan 12 Oktober lalu di Laman Khadijah, Nilai, Negeri Sembilan dan melibatkan penyertaan seramai 12 peserta dari tiga negeri iaitu Melaka (1), Negeri Sembilan (6) dan Selangor (5).
Menariknya, latihan dikendalikan oleh pakar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diketuai oleh Pensyarah Kanan Teknikal dan Vokasional, Dr Nor Hasimah Zakaria bersama tiga lagi tenaga pengajar berpengalaman.
Setiap peserta menerima kit jahitan lengkap termasuk mesin jahit dan peralatan asas bagi memastikan pembelajaran lebih berkesan dan praktikal.
Antara pengisian utama program Adalah kursus Kemahiran Asas Jahitan, Bimbingan Keusahawanan dan Penilaian Prestasi Peserta.
Tiga peserta terbaik dinobatkan berdasarkan hasil dan pencapaian keseluruhan, dan masing-masing menerima mesin jahit heavy duty sebagai dorongan untuk memulakan perniagaan sendiri.
Selain sesi latihan, peserta turut dibawa menyertai lawatan eksklusif ke Galeri Khadijah yang memperlihatkan perjalanan 15 tahun penjenamaan SK dalam industri telekung tempatan dan antarabangsa.
Laman Khadijah atau The Home of Siti Khadijah juga menjadi saksi kepada pembukaan rasmi Galeri Pelawat pertama milik jenama itu yang mengetengahkan warisan, inovasi dan tradisi dalam penghasilan produk berkualiti tinggi.
Menurut Ketua Pegawai Perancangan Strategik Kumpulan Enda Group Sdn Bhd, Mohammad Muhaimin Aminuddin, kerjasama dengan MAPIM ini membuka lembaran baharu dalam misi kemanusiaan yang bukan sahaja tertumpu di luar negara, malah memberi impak besar kepada masyarakat tempatan.
“Kerjasama ini meluaskan lagi misi kemanusiaan MAPIM, bukan hanya di luar negara seperti Palestin, tetapi juga dalam konteks tempatan.
“Kami ingin melihat wanita-wanita ini bangkit daripada penerima bantuan menjadi penyumbang ekonomi keluarga dan masyarakat. Inilah erti perjuangan sebenar iaitu membina kehidupan bukan sekadar memberi bantuan,” ujarnya.
Majlis perasmian Akademi Siti Khadijah disempurnakan oleh beliau bersama Setiausaha Agung MAPIM Malaysia, Muhammad Faris Hussain.
Inisiatif ini diyakini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada golongan wanita untuk berdikari, seterusnya menyumbang ke arah pembinaan ummah yang lebih berdaya saing dan berwibawa. – MalaysiaGazette
Sumber: MalaysiaGazette
Artikel Penuh: https://malaysiagazette.com/2025/10/19/siti-khadijah-perkasa-wanita-b40-melalui-akademi-latihan-jahitan-dan-keusahawanan/

















