If you lose all over again you double your bet again and keep repeating the doubling process and soon you hit a win and then resume your original bet Slots Master
Franchise Highlight

Nanta seru belia rebut peluang dalam bidang francais

Kuching, 28 Mei 2022,

Rakyat khasnya golongan belia perlu merebut peluang melibatkan diri dalam perniagaan francais yang mempunyai potensi sangat besar dalam meningkatkan ekonomi negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia dibuktikan dengan jumlah jualan syarikat-syarikat francais didaftarkan di bawah kementerian yang meningkat.

“Sehingga kini sebanyak 1,137 syarikat francais telah didaftarkan di bawah KPDNHEP, manakala sejumlah 68 syarikat francais tempatan telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan berada di 70 negara.

“Usaha keras kementerian untuk membangunkan industri francais dapat dilihat daripada statistik Laporan Tahunan Perniagaan Francais (LTPF) yang wajib dikemukakan oleh syarikat setiap tahun.

“Berdasarkan LTPF 2020, nilai jualan syarikat francais meningkat kepada RM14.6 bilion berbanding RM13.3 bilion yang dicatatkan pada tahun 2019, iaitu peningkatan sebanyak 9.7 peratus,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Vivacity Megamall di sini, hari ini.

Menurut Nanta, berdasarkan Laporan Franchise Bay 2021 yang telah dilaksanakan di Melaka dan Terengganu, sebanyak 14 francaisor tempatan telah terlibat.

Tambahnya, hasil daripada penganjuran program berkenaan, 88 francaisi berpotensi telah mendapatkan khidmat nasihat dan mengemukakan hasrat mereka untuk menjadi francaisi dengan jangkaan nilai potensi pelaburan sebanyak RM31.7 juta.

“Kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 30 francaisi berpotensi baharu dengan nilai potensi pelaburan sebanyak RM7.5 juta pada Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Sarawak,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kapit.

Sementara itu, pada sidang media kemudian, Nanta menggesa masyarakat khasnya belia dan graduan institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta agar melibatkan diri dalam perniagaan francais kerana ia memberi banyak manfaat.

Katanya, perniagaan francais adalah perniagaan yang bersistem, mengandungi manual operasi, manual latihan dan seterusnya, francaisor jenama tersebut akan memantau setiap perkembangan perniagaan usahawan terbabit.

“Justeru, dalam program kita seperti Franchise Bay ini, kita juga menyasarkan golongan belia kerana kita maklum terdapat lebih 60,000 lepasan institusi pengajian tinggi awam dan swasta setiap tahun.

“Mereka ini mencari pekerjaan dan perniagaan francais ini memberi alternatif, bukan sahaja kepada mereka yang mencari pekerjaan, tetapi juga mewujudkan pekerjaan,” katanya.

Mengenai program yang diadakan, Nanta berkata, ia adalah yang pertama dalam Siri Jelajah Franchise Bay bagi tahun 2022 dengan siri-siri seterusnya dijadual diadakan di Johor (9-11 Jun), Pahang (15-17 Julai), Selangor (19-21 Ogos) dan terakhir di Kedah (17-19 November).

Beliau berkata, antara objektif penganjuran program tersebut ialah memberi pendedahan kepada usahawan dan bakal usahawan mengenai konsep perniagaan francais.

“Ia adalah suatu perkara yang penting dalam usaha kerajaan menggalakkan rakyat untuk menceburi aktiviti perniagaan,” katanya.

 

 

Sumber: Utusan Borneo

Artikel Penuh: https://www.utusanborneo.com.my/2022/05/28/nanta-seru-belia-rebut-peluang-dalam-bidang-francais