If you lose all over again you double your bet again and keep repeating the doubling process and soon you hit a win and then resume your original bet Slots Master
Franchise Highlight

KPDNKK, MFA Sasar Nilai Potensi Pelaburan Francais RM370 Juta Di FIM 2014

22 May 2014 – BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) menyasarkan nilai potensi pelaburan francais sebanyak RM370 juta di Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) tahun ini.

Bagi mencapai sasaran tersebut berbanding RM368 juta tahun lepas, FIM 2014 yang akan berlangsung selama tiga hari mulai 13 Jun ini, menyediakan 130 pondok pameran dengan 90 peratus atau 117 daripadanya telah ditempah oleh syarikat-syarikat francais tempatan dan antarabangsa.

Timbalan Menteri KPDNKK Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kerajaan berazam untuk menjadikan Malaysia sebagai hab francais di Asia Tenggara menjelang 2020 dan penganjuran FIM akan dapat membantu mewujudkan lebih ramai usahawan francais di negara ini.

“Pada tahun lepas sahaja, bidang francais menyumbang sebanyak 2.5 peratus atau RM24.6 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, dan kita menyasarkan sumbangan sebanyak RM25.6 bilion kepada pendapatan negara tahun ini,” katanya pada sidang media Rabu.

Seramai 300 peserta dan 11 penceramah terdiri daripada penggiat francais tempatan dan antarabangsa akan menyertai FIM, yang bertemakan “Francais Untuk Semua” di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Ia membabitkan penyertaan dari tujuh buah negara termasuk Malaysia, iaitu Amerika Syarikat, Taiwan, Korea, Singapura, Indonesia dan Filipina.

FIM yang merupakan satu-satunya program francais di Malaysia yang disokong penuh penganjurannya oleh World Franchise Council dan Asia Pacific Franchise Confederation menyasarkan untuk menerima lebih 12,000 pengunjung pada tahun ini berbanding 10,000 orang tahun lepas.

Ahmad Bashah juga berkata selain tumpuan untuk membangunkan francais tempatan, kerajaan turut mengalu-alukan kemasukan francais dari luar bagi menawarkan konsep perniagaan baharu, menarik dan inovatif kepada rakyat.

“Kita menyeru kepada orang ramai serta pengusaha francais kecil dan besar supaya hadir dan merebut peluang ini,” katanya.

FIM 2014 turut menerima tajaan berjumlah RM270,000 daripada syarikat-syarikat tempatan — Snogurt Sdn Bhd, Perbadanan Nasional Bhd, Rakyat Management Sdn Bhd, Marrybrown Sdn Bhd dan Naza Tutti Frutti (M) Sdn Bhd.