If you lose all over again you double your bet again and keep repeating the doubling process and soon you hit a win and then resume your original bet Slots Master
Franchise Highlight

Perjuangan Penyet Penyet.Com berjaya tembusi pusat beli-belah tawar hidangan menu nusantara

25 Januari 2021,

Pastinya Pengarah Urusan Resepi Arena Sdn. Bhd. (Resepi Arena), Amran Abd. Hamid dikurnia hati ‘kering’ dan kental ketika mengemukakan permohonan untuk membuka restoran ayam penyet di beberapa pusat beli-belah utama di Lembah Klang 10 tahun lalu.

Meskipun permohonannya ditolak mentah-mentah oleh pihak pengurusan kerana jenamanya masih baharu tetapi semangat juangnya itu telah berjaya merealisasikan cita-cita beliau untuk membuka restoran sulungnya di Maju Junction Mall, Kuala Lumpur.

Bermula di situ, francaisor jenama Dapur Penyet dan kini telah dijenamakan kepada Penyet Penyet.Com sejak November lalu itu menjadikannya sebagai platform untuk menggerakkan misi membuka 15 restoran di beberapa lokasi strategik di Lembah Klang dengan menawarkan sajian makanan Nusantara enak kepada para pelanggannya.

Tidak menjadikan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk tidak berkembang maju,anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini turut mengikut trend perniagaan maya dan fokus kepada perniagaan secara online sehingga mampu menjana pendapatan yang baik untuk syarikat.

Berkongsi rahsia pengalaman lebih daripada 10 tahun bergelut dalam bidang mencabar itu kepada wartawan Kosmo! baru-baru ini, Amran, 46, juga mahu menawarkan peluang perniagaan kios ayam penyet mampu milik kepada usahawan untuk membantu mereka menambah pendapatan bulanan.

 

Cawangan pertama Penyet Penyet.Com terletak di pusat beli belah Maju Junction, Kuala Lumpur, itu satu perkem­bangan yang baik buat syarikat bumiputera yang baru berope­rasi ketika itu, mungkin ada cerita menarik yang boleh dikongsi?
Saya telah berkunjung ke pelbagai pusat beli-belah seperti di Alam Sentral, Mid Valley dan Sogo untuk menghantar cada­ngan membuka restoran dan juga di medan selera di sana tetapi permohonan tersebut ditolak.

Malah ada juga pihak yang langsung tidak melihat permohonan saya. Mereka maklumkan bahawa perniagaan saya terlalu baharu dan lantas memberi cadangan untuk saya membuka perniagaan di kawasan yang menjadi tumpuan masyarakat Melayu.

Saya terima nasihat tersebut dan terus membuat tinjuan sendiri di sepanjang Jalan
Tuanku Abdul Rahman sehinggalah saya sampai di Maju Junction Mall dan mendapati ada lot kosong yang amat strategik.

Saya terus berbincang dengan pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut dan saya berjaya menyewa di situ, seterusnya dapatlah saya memulakan perniagaan Dapur Penyet di situ.

 

Berapakah modal yang dikeluarkan dan bagaimana sam­butan pelanggan ketika itu?
Saya melabur sebanyak RM500,000 untuk cawangan sulung ini.

Saya berkeyakinan bahawa projek kali ini akan berjaya.

Saya tampilkan 12 menu makanan Nusantara berasaskan ayam penyet.

Harga set makanan ialah RM6.90 berserta air minuman. Sambutan yang diterima amat menggalakkan.Jualan mencecah lebih daripada RM5,000 sehari. Bermula dari situ, saya telah membuka ca­wangan kedua di Bandar Baru Ampang.

Mengapa Penyet Penyet.Com memilih untuk berope­rasi di pusat beli-belah se­dangkan banyak syarikat bumiputera menghadapi pelbagai isu sebelum ini dan bagaimana syarikat berjaya hadapi segala cabaran tersebut?
Bila cadangan untuk membuka perniagaan di pusat beli-belah menjadi kenyataan, ia dianggap seperti memberi peluang kepada kami untuk memperjuangkan segmen makanan orang Me­layu di dalam pusat beli-belah.

Ia memberi semangat dan pendorong yang kuat untuk kami membuktikan bahawa syarikat bumiputera boleh berjaya berniaga di premis begini.

Sehingga sekarang, banyak yang telah dikorbankan untuk mencapai hingga tahap sekarang. Kami sudah berada dalam bidang ini selama 10 tahun dan pelbagai pengalaman yang dialami sehingga kini.

 

Apa perancangan terbaharu Penyet Penyet.Com?
Syarikat menjadi francaisor pada tahun 2015 di atas jenama Dapur Penyet dan melihat kepada perubahan semasa, kami telah menjenamakannya kepada Penyet Penyet.Com bersesuaian dengan trend pasaran ke arah digital pada bulan November lalu.

Kami kini memiliki 15 cawangan yang mana tiga daripada cawangan berkenaan dimiliki francaisi.

Selain itu, kami juga bercadang untuk menawarkan konsep perniagaan kios mampu milik dengan menjual menu makanan ringkas berasaskan ayam penyet di lokasi strategik di pusat beli-belah dan juga tumpuan awam.

Pakej perniagaan tersebut ditawarkan kepada usahawan yang berminat dengan modal seba­nyak RM100,000 sahaja.

Berapa banyak kios bakal dibuka di bawah model baharu ini?
Kami bercadang untuk membuka 50 cawangan pada tahun ini di sekitar Lembah Klang dan kios sulung akan dibuka di Cyberjaya tidak lama lagi dan lima lagi lokasi lain terletak di pusat beli-belah Mid Valley dan Pavilion, Bangi, Selayang serta Senawang.

Kami menjemput usahawan untuk menceburi bidang perniagaan ini kerana testimoni Dapur Penyet itu sendiri. Kami juga boleh membantu usahawan untuk mendapatkan pembiayaan modal.

Mengapa perlu meneroka perniagaan baharu sedangkan kami telah berpengalaman selama 10 tahun dalam bidang ini? Kami telah melakukan pelbagai kajian dan pembangunan terhadap segala aspek perniagaan ini.

 

Bagaimanakah pandemik Covid-19 dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan kepada syarikat pada tahun lalu?
Semestinya jualan menurun antara 20 hingga 30 peratus, apatah lagi apabila pusat beli-belah ditutup sehingga menyebabkan ada restoran kami yang menca­tat penurunan antara 50 hingga 70 peratus. Tetapi kami dapat mengatasi masalah tersebut ke­rana lebih agresif dalam segmen jualan makanan secara online.

Sambutannya amat menggalakkan dan sehingga kini, 60 peratus daripada jualan adalah daripada jualan secara online.

Sebelum ini, kami menjangkakan jualan secara online ha­nya menyumbang sebanyak 30 peratus tetapi ramalan tersebut tidak tepat kerana ia mendapat permintaan yang tinggi sehingga mencecah kepada 60 peratus. Kami

lihat trend tempahan secara online akan terus menguasai pasaran semasa untuk lima tahun akan datang dan kami perlu segera merebut peluang ber­kenaan termasuk menawarkan model bisnes maya yang mana ia seiring dengan penjenamaan semula syarikat.

Apakah keunikan Penyet Penyet.Com berbanding pe­saing di pasaran?
Kami sentiasa konsisten menawarkan makanan berkualiti, bersih dan selamat kepada para pelanggan, Kami tidak mahu menawarkan sambal ayam penyet yang terlalu pedas tetapi yang penting cilinya perlu dimasak terlebih dahulu di dalam dapur yang bersih dan menggunakan khidmat pekerja tempatan.

Kami juga menggunakan bahan mentah khususnya ayam dara yang mana beratnya kurang daripada satu kilogram dan saiz ayam juganya tidak besar.

Kami gunakan ayam dara kerana rempah ratusnya mudah meresap masuk ketika dimasak dan menghasilkan rasa masakan yang sedap.

Bilakah tahun mencabar buat syarikat?
Pada tahun 2017, kami telah melabur sebanyak RM1.2 juta untuk cawangan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Ketika itu, Bukit Bintang adalah kawasan tum­puan pelancong asing dan warga kota. Tetapi disebabkan projek pembinaan melibatkan stesen MRT di situ, kawasan trafik agak terganggu dan kos sewa terlalu tinggi sehingga menyebabkan kami terpaksa menutup restoran berkenaan.

Kami juga terpaksa menutup dua restoran lain kerana loka­sinya juga terlibat dengan pembinaan stesen MRT dan juga penutupan pusat beli-belah. Ia menyebabkan kami menghadapi masalah dalam pengurusan kewangan syarikat pada tahun tersebut.

5

Sumber: KOSMO!

Artikel penuh: https://www.kosmo.com.my/2021/01/25/perjuangan-penyet-penyet-com-berjaya-tembusi-pusat-beli-belah-tawar-hidangan-menu-nusantara/

  • 5