Pengurus Besar Jenama NYSS, Muhammad Adam Mah berkata, rancangan untuk membuka cawa­ngan di luar negara adalah kerana faktor permintaan yang tinggi terhadap industri makanan halal dari Malaysia.

“Permintaan terhadap industri makanan halal Malaysia di Kuwait dan Jepan sangat tinggi, selain itu mereka meminati cara kami menyajikan hidangan stik yang segar dengan dihidangkan panas-panas kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada premis ke-10 NYSS di pusat beli-belah Alamanda di sini semalam.

Muhammad Adam menjelaskan, pihaknya sedang memohon sijil francais daripada Kementerian Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan.

“Jika tiada halangan, NYSS buat julung kalinya akan berada di pasaran antarabangsa pada suku kedua tahun ini,” te­rang­nya.

Tambah beliau, NYSS yang beroperasi sejak 2014 mempunyai 10 buah cawa­ngan di seluruh negara merupakan restoran makanan stik pertama di Malaysia yang memperoleh sijil halal dari Jakim.

“Kesemua 10 buah restoran NYSS telah memperoleh pensijilan halal dan terbaharu adalah cawa­ngan NYSS di Alamanda Putrajaya ini,” ujarnya.

Selain itu, NYSS dijang­ka membuka tiga lagi cawangan baharunya iaitu di Melaka, Pahang dan Johor pada tahun ini.

Ia bertujuan untuk memenuhi pasaran pelanggan di negeri-negeri selain Lembah Klang buat masa ini.

NYSS memiliki keunikannya dalam menu yang ditawarkan.

Antara hidangan stik berkualiti tinggi yang popular ialah rib eye, striploin dan t-bone yang dihidangkan dengan kaedah sizzling pada harga berpatutan di bawah RM50.

Read more at : http://www.kosmo.com.my/dunia/ny-steak-shack-bakal-tembusi-kuwait-jepun-1.614482