Pengarah Urusan Cornery FNB, Datuk Joe Tan berkata, pihaknya ya­kin unjuran berkenaan dapat dicapai kerana ia merupakan jumlah yang realistik dipacu oleh pembukaan beberapa lagi cawangan tahun ini.

“Selain itu, kami juga giat melakukan aktiviti pemasaran termasuk promosi melalui media sosial dan memperkenalkan menu baharu setiap enam bulan sekali bagi memastikan produk kami sentiasa segar dan diminati.

“Oleh itu, kami yakin sekurang-kurangnya mencatatkan jualan sebanyak RM15 juta tahun ini memandangkan ketiga-tiga jenama kami juga mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan walaupun baru dilancarkan tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Cornery FNB adalah pemilik lesen francais induk kafe Street Churros, kedai popcorn Cornery dan kedai ais krim organik Softree di Malaysia dengan setakat ini telah memiliki 13 cawangan bagi ketiga-tiga jenama berkenaan.

“Cornery FNB juga sedang berusaha dan merancang untuk membawa masuk beberapa jenama francais baharu ke Malaysia.

Katanya, syarikat akan terus mengekalkan produk dan jenama francais berbentuk pencuci mulut dan kudapan mengambil kira citarasa rakyat Malaysia.

“Kami optimis makanan berbentuk pencuci mulut amat diminati rakyat Malaysia apatah lagi bagi Street Churros sahaja kami berjaya menjual purata 1,000 churros sehari bagi satu cawangan.

“Selain membawa masuk jenama baharu, kami juga sedang dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mewujudkan jenama kafe kami sendiri yang mungkin akan mula beroperasi tahun hadapan,” katanya.