Urus Harta Rm500j

19 JUN 2008 - HARIAN METRO

WASIYYAH Shoppe Sdn Bhd (Wassiyah Shoppe), syarikat milik penuh Bumiputera, khusus dalam industri perancangan dan pengurusan harta pusaka secara syariah, menjangka portfolio pengurusan harta hibah pelanggannya mampu mencecah RM500 juta menjelang akhir Jun 2009 berbanding RM200 juta pada tempoh sama 2007.

Ketua Pegawai Eksekutifnya , Ariffin Sabirin, berkata pihaknya yakin mencapai sasaran berkenaan dengan pembukaan 24 francaisnya seluruh Semenanjung menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya melantik lima francaisi iaitu Pro-Q Solution Sdn Bhd dari Shah Alam, Nadi Abrar Sdn Bhd (Alor Setar), Al-Quds Sdn Bhd (Kuantan), Zano Ikhlas Sdn Bhd (Seremban) dan ARMK Sdn Bhd (Johor Bahru).

Katanya, lima francais itu menerima pembiayaan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dengan jumlah keseluruhan RM371,800.

“Wassiyah Shoppe unik berbanding sistem francais lain yang menjual produk fizikal berikutan ia menjual perkhidmatan dan potensinya luas kerana dijangka 95 peratus orang Islam di Malaysia tidak merancang harta pusaka mereka.

“Potensi industri ini cerah memandangkan laporan mencatatkan lebih 2 juta kes pusaka tertunggak dengan nilai harta pusaka RM40 bilion dan majoriti kes itu adalah milik orang Islam,” katanya selepas pelancaran Program Francais Wassiyah Shoppe, di Shah Alam.

Program itu dilancarkan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan koperasi (Mecd), Datuk Saifuddin Abdullah. Hadir sama, Pengerusi Wassiyah Shoppe; Datuk Ahmad Khairummuzammil Mohd Yusoff, Pengarah Bahagian Pembangunan Francais; Zainuddin Ahmad, Pengurus Besar Jabatan Operasi PNS; Hassan Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Francais Malaysia, Norol Azali Sulaiman.

Ariffin berkata, pihaknya menawarkan 22 modul latihan inovatif dan komprehensif kepada setiap francaisi supaya lebih efektif.

Mengulas mengenai langkahnya memperkukuhkan perniagaan Wassiyah Shoppe, Ariffin berkata, pihaknya merancang memperkenalkan tiga produk baru menjelang akhir tahun ini.

“Setakat ini, kami menawarkan tujuh produk dan merancang memperkenalkan beberapa produk baru untuk menyediakan perkhidmatan lebih cekap,” katanya.