Syarikat Francaisor Diminta Tidak Ambil Kesempatan Kaut Keuntungan

24 MAC 2010 - BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan pemilik francais atau francaisor, agar tidak mengambil kesempatan daripada sistem franchais untuk menggaut keuntungan berlebihan daripada pemegang francais.

"Syarikat francaisi (pemegang francais) memainkan peranan penting bukan sahaja dapat menambah keuntungan dalam perniagaan, malahan bertindak mengukuhkan jenama dan jaringan perniagaan ke peringkat antarabangsa jika diuruskan dengan baik," katanya.

Beliau berkata perniagaan francais perlu dijalankan secara profesional, telus dan beretika seperti mana termaktub dalam Perjanjian Francais termasuk mematuhi peruntukan di bawah Akta Francais 1998.

"Akta Francais bertujuan melindungi hak bakal francaisi serta memastikan supaya francaisor (pemilik francaisor) melaksanakan tanggungjawab atau obligasi mereka kepada francaisi," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian lesen francais kepada 19 syarikat francaisor dan francaisi di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata walaupun terdapat akta itu, masih terdapat pelbagai isu pertikaian yang sering berlaku antara francaisor dan francaisi atau pihak-pihak yang cuba membelakangkan Akta Francais 1998 bagi mengambil kesempatan ke atas usahawan.

Pada sidang akhbar selepas itu, beliau berkata kementerian akan mengkaji semula Akta Francais yang digunapakai selama lebih 12 tahun bagi melindungi kedua-dua francaisor dan francaisi.

Menurutnya, kementerian mahu memastikan peruntukkan di bawah akta itu sesuai dengan perkembangan perniagaan di dalam dan luar negara termasuk mempergiatkan pembangunan industri itu di negara ini.

Beliau berkata kementerian mengenal pasti kelemahan yang dikesan di kalangan perniagaan francais adalah kekurangan pemahaman mengenai keperluan dan pengurusan perniagaan secara francais.

"Daripada daftar francais di bawah kementerian, sejumlah 410 syarikat atau francaisor berdaftar untuk menjalankan perniagaan itu, tetapi kita mengesan sebanyak 14 perniagaan francais sedang dalam proses penggulungan syarikat," katanya.

Beliau berkata angka itu tidak sebegitu besar jika dibandingkan dengan perniagaan biasa yang mengalami masalah perniagaan, namun ia boleh memberi impak kepada francaisi yang melabur.

Ismail Sabri berkata di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang berakhir tahun ini, sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi pembangunan Francais.

"Sejumlah 35 francaisor Bumiputera daripada sasaran untuk mewujudkan 50 pemilik francais telah dibangunkan dan kita yakin 15 lagi akan dapat dilahirkan sebelum akhir tahun ini," katanya.

Beliau juga berkata pelan induk perniagaan francais yang meletakkan strategi dan pelan tindakan terbaru berasaskan perubahan dalam ekonomi semasa yang kini sedang digubal dijangka siap Jun ini.

-- BERNAMA