RasaMas perkenal menu baru sempena Tahun Baru Cina

08 MAC 2010 - BERITA HARIAN

SEMPENA meraikan perayaan Tahun Baru China hujung minggu ini, restoran francais KFC Holdings (Malaysia) Berhad (KFCH), RasaMas memperkenalkan sajian terbarunya, ayam Hainan. Hidangan itu pertama kali seumpamanya ditawarkan rangkaian restoran berkenaan dalam usaha memperkenalkan hidangan berasaskan ayam kukus.
Berinspirasikan sajian ayam Hainan tradisional yang popular di warung pada masa kini, RasaMas memberi sentuhan lebih istimewa dengan menghasilkan hidangan baru dalam menunya. Hidangan berkenaan adalah sajian terbaru sebagai tambahan kepada kepelbagaian rangkaian sajian lain seperti Golden, Pepper dan Percik Roaster yang sedia ada.

Pengarah Urusan KFCH, Jamaludin Ali, berkata ayam Hainan menjadi sajian kegemaran pada musim perayaan, justeru sempena Tahun Baru Cina, RasaMas terpanggil untuk mengetengahkan sajian enak itu yang sinonim dengan hidangan masyarakat Cina. Pelancaran menu baru itu juga serentak dengan musim cuti persekolahan yang akan menjelma tidak lama lagi. Hidangan berkenaan tidak pedas kerana ayamnya dikukus dan lembut selain menepati cita rasa seluruh keluarga terutama kanak-kanak. Kami berharap ayam Hainan akan mendapat sambutan hangat di kalangan pelanggan berbilang bangsa dan agama di negara ini, khususnya sepanjang musim perayaan. Sehubungan itu, kami menjangkakan ia akan menarik lebih ramai pelanggan ke restoran RasaMas untuk menikmati sajian enak lagi menyelerakan ini, katanya pada majlis pelancaran Ayam Hainan RasaMas di pasar raya terkemuka, Giant, Kota Damansara, baru-baru ini. Turut hadir melancarkan sajian enak itu ialah Pengurus Besar Ayamas Food Corporation Sdb Bhd, Rafiq Moosa.
Resipi Ayam Hainan dikatakan istimewa kerana ayam diperap dengan adunan sos soya, bawang putih, halia, minyak bawang merah dan minyak bijan bagi menghasilkan rasa unik yang tiada tandingannya.

Lazimnya, ayam Hainan dihidang bersama nasi dan menjadi makanan masyarakat Cina yang sering dikaitkan dengan makanan Malaysia atau Singapura. Malah sajian itu turut ditemui di negara jiran seperti Thailand dan wilayah Hainan, China.
Mengikut maklumat dari Wikipedia, nasi ayam Hainan dinamakan berikutan asal usulnya dalam makanan Hainan dan pengamalannya oleh masyarakat Cina dari seberang laut bersuku Hainan dalam kawasan Nanyang. Versi makanan itu kini semakin mendapat sambutan di negara ini dan Singapura yang menggabungkan unsur masakan Hainan dan Kantonis ditambah lagi dengan cita rasa pemakanan Asia Tenggara.
Nasi ayam Hainan berasal dari China, iaitu Hainan adalah wilayah terkecil dalam Republik Rakyat China. Maka, asal-usulnya juga dari sana.
Menerusi sajian Ayam Hainan RasaMas, ia didatangi dengan set sajian kombo. Selain nasi, set hidangan itu turut disediakan dengan hidangan sampingan termasuk sup jernih, sup cendawan, roti bawang putih, tauhu Jepun dan sayur campur.

Terdapat tiga saiz iaitu satu perempat ayam berharga RM10.80; separuh ayam (RM15.80), manakala untuk sajian seekor ayam pula ditawarkan pada harga RM22.80. Promosi berkenaan juga disediakan secara individu pada harga RM12.80, dua orang (RM26.80) dan hidangan empat orang berharga RM46.80. KFCH berharap dengan memperkenalkan menu baru di RasaMas dapat membantu melonjakkan jualan keseluruhan pada kadar lebih 15 peratus sepanjang tempoh promosi. Hidangan ayam Hainan RasaMas hanya berada di pasaran sehingga 7 April depan di restoran RasaMas seluruh negara.
RasaMas kini memiliki lebih 49 restoran di Malaysia dan tiga lagi di Brunei. Mengembangkan lagi pasaran industri makanan, KFCH merancang untuk membuka lima lagi cawangan baru pada setiap tahun dalam tempoh terdekat.