Pusat Pengantara Francais Ditubuhkan Menjelang Hujung Tahun

10 JUN 2010 - BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Sebuah Pusat Pengantara Francais akan ditubuhkan menjelang hujung tahun ini bagi menyelesaikan pertikaian antara "franchisor" dengan "franchisee", kata Pengarah Bahagian Pembangunan Francais, Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datin Seri Elena Chiang Abdullah.

Beliau berkata pusat itu akan dikendalikan oleh pakar yang tahu mengendali mediasi antara franchisor (pemberi francais) dengan franchisee (penerima francais).

"Mediasi adalah kaedah penyelesaian pertikaian alternatif yang lebih murah, kurang rumit di samping menambahbaik komunikasi antara kedua-dua pihak, berbanding tindakan undang-undang yang membuang masa dan memakan banyak belanja," katanya kepada pemberita selepas perasmian Masyuarat Agung Tahunan ke-15 Persatuan Francais Malaysia (MFA) di sini.

Mesyuarat dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Daud Tahir yang mewakili menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Presiden MFA Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh berharap penubuhan pusat itu akan mempercepatkan manfaat industri francais di negara ini.

"Pertikaian biasa antara franchisor dan franchisee adalah tentang hal ehwal perniagaan yang timbul dari salahfaham antara kedua-dua pihak," katanya.

Ismail dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Daud mengumumkan bahawa minggu Francais 2010 akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra dari 27 Julai hingga 1 Ogos depan yang antara pengisiannya ialah Persidangan dan Pameran Francais Internasional Malaysia 2010 dan Anugerah Francais Malaysia 2010.

Beliau berkata program itu signifikan dengan usaha kerajaan untuk membangunkan 50 produk dan perkhidmatan francais tempatan yang baru dan dalam masa yang sama menarik minat pelabur francais asing untuk bertapak di Malaysia.

-- BERNAMA