Popular Cadang Buka 6 Cawangan

15 FEBRUARI 2008 - UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 14 Feb. - Popular Book Company (M) Sdn. Bhd. (Popular), rangkaian kedai buku dwibahasa, merancang menambah enam cawangan lagi dalam tahun kewangan berakhir 30 April 2009.

Pengurus Perkhidmatan Pemasaran Kanan Popular, Jackie Wong berkata, setakat itu kini mempunyai 57 kedai di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.

''Empat daripada kedai tersebut merupakan kedai mega yang terletak di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

''Popular juga telah menerima pengiktirafan daripada Malaysian Book of Records kerana merupakan rangkaian kedai buku terbesar di Malaysia,'' katanya pada majlis pelancaran promosi Spring Celebration, di sini hari ini.

Promosi yang bermula pada 9 Februari lalu dan akan berakhir pada 24 Februari ini, akan menawarkan pelbagai tawaran serta rebat kepada pelanggan tetap.

Tambah Jackie, 88 buah buku bahasa Inggeris dan Cina telah dipilih dan ditawarkan dengan harga istimewa yang berakhir dengan 88 sen, kerana menurut kepercayaan masyarakat Cina angka 8 membawa maksud kemakmuran.

''Secara tidak langsung Popular berharap promosi ini akan membawa tuah kepada syarikat.

''Kami juga menetapkan sasaran jualan sempena promosi ini sebanyak RM15 juta bagi semua kedai kami di seluruh Malaysia,'' ujarnya.

Pelbagai aktiviti menarik akan dijalankan di kedai mega Popular sempena promosi itu, termasuk demonstrasi masakan, seminar kesihatan dan ceramah mengenai 'feng shui' selain penawaran pelbagai produk alat tulis, muzik serta cenderamata, tambahnya.

Popular juga, akan terus menjadikan rangkaian kedai bukunya bersifat mesra pelanggan dan peruncit dinamik pada alaf baru ini.