Pinjaman Untuk Siswazah Tanpa Penjamin, Cagaran

21 DISEMBER 2008 - BERITA HARIAN

PUTRAJAYA: Siswazah yang mahu membuat pinjaman perniagaan melebihi RM50,000 melalui skim yang ditawarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mungkin tidak perlu menyediakan penjamin atau cagaran.

Menterinya, Datuk Noh Omar berkata, beliau mengarahkan kajian lanjut mengenai perkara itu selepas dibincangkan di Seminar Pembiayaan Perniagaan di Johor Bahru, Johor hujung minggu lalu.

“Kini memang ada skim pinjaman untuk siswazah yang tidak memerlukan penjamin atau cagaran, iaitu Skim Mikro Kredit, tetapi ia hanya bagi pinjaman bawah RM50,000.


“Bagi pinjaman lebih RM50,000, kita kena lihat bagaimana boleh membantu mereka supaya bila mereka memohon pinjaman tak perlu lagi syarat itu kerana kita sedar kini amat sukar untuk mendapatkan penjamin atau cagaran,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyempurnaan kerjasama antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan Kementerian Pengajian Tinggi di sini semalam.

Noh berkata, kelonggaran turut akan diberikan kepada siswazah yang disenarai hitam akibat tidak membayar pinjaman pelajaran untuk memohon pinjaman perniagaan yang ditawarkan kementerian.

Selain itu, satu skim baru akan diperkenalkan bagi mereka yang ingin menceburi perniagaan francais dengan mereka yang mengikuti latihan oleh francaisor diberikan elaun bulanan dan jaminan mendapatkan pinjaman perniagaan pada akhir kursus. - Bernama