Peranan Swasta Ditekankan Dalam NKEA

1 JULAI 2010 - BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peranan swasta akan ditekankan dalam mencapai matlamat dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

"Dalam mencapai matlamat NKEA, ia merupakan cabaran bagi semua pihak, baik kerajaan atau swasta, ia memerlukan komitmen yang tinggi dari setiap pihak untuk menjayakan sasaran yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pendidikan Prasekolah Kebangsaan 2010 di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghabiskan masa sembilan minit di setiap satu daripada 12 makmal NKEA di Kelana Jaya bagi mendapatkan perkembangan terkini, selain beliau tertarik dan memuji pencapaian makmal itu, yang merupakan satu kerjasama sektor awam dan swasta.

Muhyiddin berkata, dalam tempoh 10 tahun akan datang, pihak swasta akan menjadi penggerak utama dalam menjana ekonomi negara manakala kerajaan bertindak sebagai pemudah cara bagi membolehkan swasta merencana pelaburan yang lebih besar.

"Kita kini dalam proses berbincang dengan peringkat kumpulan subsektor industri, usahawan kita ambil kira keupayaan mereka yang sedia ada dan mungkin lain-lain bentuk sokongan yang mereka perlukan akan disediakan supaya proses untuk uruskan perniagaan berjalan lancar.

"Itu sasaran yang ditetapkan, tetapi peranan syarikat yang terlibat dalam setiap sektor itu amat utama dan kita hendak galakkan lebih ramai pelabur asing datang mengadakan perkongsian bersama dengan pengusaha tempatan," katanya.