Perabot Jati Gaya Mewah

21 FEBRUARI 2009-HARIAN METRO

KEINDAHAN dekorasi menampilkan perabot jati sebagai kemasan utama ruang kediaman tentunya memberikan sudut pandangan berbeza.

Apatah lagi perabot jati bagaikan pelengkap untuk penataan bergaya mewah dan eksklusif.

Penggunaan perabot jati secara meluas di negara ini membuktikan ia antara produk mampu milik dan bukan untuk golongan atasan semata-mata.

Sentuhan kreatif perabot jati berukiran flora dan alam semula jadi dengan menampilkan sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan, membuatkan ia menjadi pilihan utama.

Tidak dinafikan kehadiran perabot jati mampu merealisasikan sepenuhnya konsep warisan Melayu, Nusantara dan suai padan.

Mungkin perabot jati juga berfungsi sebagai titik fokal ruang sekiranya anda bijak memanfaatkan nilai estetikanya.

Ramai berpendapat, jati mempunyai keunikan tersendiri termasuk tahan lasak, kukuh dan diserlahkan dengan warna semula jadi.

Kelainannya lebih terserlah setiap perabot jati itu kaya dengan ukiran berlatarkan motif tempatan.

Bukan sekadar perabot jati yang mampu mewarnai ruang, malah kehadiran aksesori hiasan berasaskan jati juga tidak kurang hebatnya.

Biar pun hanya perhiasan kecil, namun kesesuaian reka letak aksesori itu menzahirkan pemandangan berbeza.

Menyedari perabot jati mempunyai keistimewaan tersendiri, Jatimas Interior & Deco kini menawarkan pelbagai pilihan terbaru produk berkenaan.

Jatimas Interior & Deco antara francaisi bagi Jatimas Asia (M) Sdn Bhd yang beroperasi sejak 1 Januari lalu.

Menurut Pengurus Operasinya, Noorulfateehah Ibrahim, setiap produk Jatimas yang ditawarkan itu dijangka memenuhi pelbagai cita rasa pemilik kediaman.

“Produk Jatimas yang ditawarkan ini mempunyai rekaan dan lebih praktikal untuk menghiasi segenap ruang kediaman.

“Daripada kemasan untuk ruang tamu hinggalah bilik tidur, kehadiran perabot Jatimas tetap menarik perhatian,” kata Noorulfateehah.

Antara yang menjadi pilihan ramai ialah Lavinia Leaf 2 + 1, DN Seroja 6s dan DB Matahari Cacah melalui penampilan warna semula jadi.

Berkenaan rutin penjagaan perabot jati dan aksesori jati, Noorulfateehah berkata ia perlu dilap sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi mengelak habuk dan mencacatkan hiasan dalaman anda.

Anda yang berminat boleh berkunjung ke Jatimas Interior & Deco yang terletak di No 70G, Jalan Puteri 2/2, Bandar Puteri Puchong, Selangor atau hubungi 03-80686511 atau layari web www.jatimas.com.my.