Maybank lanjutkan waktu perbankan hari bekerja

UTUSAN MALAYSIA- 26 JANUARI 2006

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Maybank akan melanjutkan waktu perbankan pada hari-hari bekerja bagi memberi keselesaan kepada para pelanggannya, demikian diumumkan dalam satu kenyataan hari ini.

Bank itu berkata dengan lanjutan waktu perbankan, berkuatkuasa 1 Februari, bank-bank di semua negeri kecuali Kelantan dan Terengganu, akan beroperasi mulai pukul 9.15 pagi hingga 4.30 petang pada hari Isnin hingga Khamis sementara pada hari Jumaat, waktu perbankannya ialah dari pukul 9.15 pagi hingga 4.00 petang.

Untuk bank-bank di Kelantan dan Terengganu, waktu operasi ialah dari pukul 9.15 pagi hingga 4.30 petang dari hari Ahad hingga Rabu, dan pada hari Khamis, ia akan beroperasi mulai pukul 9.15 pagi hingga 4.OO petang.

Penolong Presiden Bank Agil Natt berkata perubahan semula waktu perbankan itu ialah untuk memberikan tempoh waktu yang lebih panjang berbanding dengan lima dan setengah hari waktu bekerja sebelum ini.

Maybank akan turut menawarkan perbankan hari Sabtu di 26 buah cawangan terpilih Maybank seluruh negara yang terletak di pusat-pusat beli-belah utama dan kawasan-kawasan yang mempunyai jumlah pelanggan yang tinggi.

Cawangan-cawangan itu akan menawarkan beberapa perkhidmatan perbankan terpilih terutamanya kiriman wang dan pembayaran di samping deposit, jualan dan perkhidmatan khidmat nasihat kewangan.

Antara cawangan-cawangan itu termasuklah Maybank di komplek-kompleks beli-belah Mid Valley, KLCC, Ampang Park, Pernas Sogo Complex di Wilayah Persekutuan dan Komtar di Pulau Pinang.

Waktu-waktu perbankan untuk 26 buah cawangan yang menawarkan Perbankan Sabtu ialah dari 11.00 pagi hingga 2.00 petang. Bagaimanapun, cawangan-cawangan ini akan ditutup pada cuti-cuti umum yang diwartakan