Mama Chops Papa Grill sasar 20 cawangan

8 JULAI 2010 - UTUSAN MALAYSIA

 

KUANTAN 7 Julai - Restoran makanan segera, Mama Chops Papa Grill menyasarkan beroperasi dengan 20 cawangan di seluruh negara pada tahun ini.

Pengarah Urusannya, Zulkifli Mohd. Razi berkata, setakat ini, pihaknya mempunyai 16 cawangan restoran, termasuk yang terbaru di pusat beli-belah East Coast Mall (ECM), di sini.

Menurut beliau, pembukaan cawangan ke-16 itu merupakan yang terbesar berbanding di tempat lain di negara ini.

"Selain di sini, kami juga mempunyai cawangan di Lembah Klang, Johor, Terengganu dan Kedah," katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan Mama Chops Papa Grill di sini hari ini.

Pembukaan restoran itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Shafik Fauzan Shariff.

Zulkifli memberitahu, pihaknya akan membuka dua lagi cawangan di Segamat dan Pontian di Johor selepas Kuantan.

Katanya, Mama Chops Papa Grill menyediakan 43 menu makanan barat seperti chicken chop, lamb chop dan spagethi.

''Antara menu yang menjadi pilihan ialah chicken chop berserta sos lada hitam dan beberapa lagi menu lain yang istimewa.

''Di sini juga kami menghidangkan makanan barat seperti chicken chop dihidangkan bersama nasi putih dan menjadi salah satu menu kegemaran pelanggan," katanya.

Mengulas restoran Mama Chops Papa Grill di sini, ujarnya, ia beroperasi bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam dengan sembilan kakitangan rakyat tempatan.

''Kami membuka peluang kerja kepada orang tempatan dan seboleh-bolehnya tidak mahu menggunakan khidmat pekerja asing seperti di kebanyakan restoran lain di negara kita," katanya.

Menurutnya, restoran itu mampu menempatkan 100 pelanggan dalam satu-satu masa.

Selain aspek perkhidmatan, tambah beliau, pihaknya juga menumpukan kepada konsep persekitaran restoran yang moden, ceria dan bersih bagi keselesaan pelanggan.

Sementara itu, Shafik Fauzan berkata, beliau yakin restoran Mama Chops Papa Grill yang dibuka di ECM ini mampu mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan memandangkan lokasinya terletak di dalam sebuah pusat beli-belah terbesar di Pantai Timur dan menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong.

''Lagipun tidak perlu diperkenalkan lagi produk ini kerana restoran ini sudah pun ternama dan sesiapa yang selalu mengunjungi restoran ini mengetahui kelazatan menu yang disediakan," katanya.

Tambahnya, kerajaan sentiasa menyokong pembukaan restoran terutama yang menyediakan makanan halal dan berkonsepkan francais di negeri ini.