5 JULAI 2010 - BERNAMA
SUBANG, 5 Julai (Bernama) -- Sektor koperasi disarankan agar merebut peluang dengan menawarkan produk kewangan Islam seperti Ar-Rahnu dan takaful yang mempunyai permintaan meluas ketika ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata produk pajak gadai Ar-Rahnu yang difrancaiskan oleh Bank Rakyat misalnya telah menarik perhatian ramai pihak termasuk di negara jiran seperti Indonesia dan Brunei dan menyebabkan produk kewangan Islam terbuka lebih luas.
"Selain itu, masih banyak lagi bidang perniagaan dan projek pembangunan di mana koperasi boleh melibatkan diri antaranya bidang kesihatan, pendidikan dan juga industri halal," katanya di dalam teks perasmian Seminar Pematuhan Syariah dalam Gerakan Koperasi di sini.
Teks ucapannya dibacakan oleh timbalannya, Datuk Rohani Abdul Karim.
Beliau berkata, pada masa ini juga jelas dilihat trend peralihan di mana sudah banyak koperasi mula bertukar dari sistem konvensional kepada sistem syariah.
Katanya, data semasa yang menunjukkan lebih 7,600 koperasi telah didaftarkan dengan keanggotaan menjangkau 7.0 juta orang, jelas menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap konsep dan amalan berkoperasi.
"Berdasarkan maklumat yang saya terima, 90 peratus daripada koperasi yang berdaftar ini adalah merupakan koperasi Bumiputera dan ini bermakna keperluan terhadap produk Islam adalah tinggi," katanya.
Dalam sidang media selepas majlis tersebut, Rohani berkata setakat ini sebanyak 38,144 permohonan lesen runcit bagi menjual barang kawalan - gula, tepung gandum dan minyak masak - diterima dari peruncit di seluruh negara.
"Ini hanya jumlah peruncit kecil di seluruh negara dan ianya tidak termasuk pasaraya besar dan kedai-kedai serbaneka atau stesen-stesen minyak yang turut menjual barangan tersebut," katanya.
Katanya, walau pun penggunaan lesen tersebut telah dikuat kuasa bermula 1 Julai lalu, kementerian masih memberi peluang dan berharap lebih ramai peruncit membuat permohonan bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan.