![]() |
Kakitangan Restoran Jom Makan London sedang menyediakan mee goreng.
|
08 Februari 2010 - UTUSAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR 7 Feb. – JomMalaysia (UK) Ltd. yang kini memiliki dua buah restoran makanan Malaysia dikenali sebagai Jom Makan di United Kingdom (UK) merancang meluaskan lagi perniagaannya menggunakan konsep francais menjelang 2015.
Pengarah Urusannya, Mohd. Zuhri Abdullah berkata, langkah itu dijangka mampu menyegerakan proses peluasan ‘Dapur Malaysia’ yang menjadi inspirasi kerajaan dalam mempromosi makanan negara di seluruh dunia.
JomMalaysia yang dimiliki 100 peratus oleh Perbadanan Nasional Bhd. (PNS), kini mempunyai dua buah restoran Jom Makan - masing-masing di Pall Mall dan Westfield, London. PNS juga mempunyai sebuah restoran makanan Malaysia di Tokyo, Jepun.
Sebagai langkah permulaan, JomMalaysia akan menambah lima lagi cawangan di UK sebelum menerokai pasaran di Eropah dan Amerika Syarikat pada 2012.
Katanya, untuk projek pertama di UK, syarikat tersebut akan membelanjakan antara 400,000 (RM2.16 juta) hingga satu juta pound sterling (RM5.4 juta) bagi setiap cawangan tersebut, bergantung kepada lokasi.
Menurut beliau, meskipun membabitkan pelaburan yang besar, namun yakin Jom Makan mampu mencatatkan kejayaan memandangkan kedua-dua restoran yang sedia ada mendapat sambutan baik di kalangan penduduk London.
Ia kerana, Jom Makan menawarkan 40 jenis makanan pilihan yang biasanya dijual oleh gerai-gerai di Malaysia.
Setakat ini, hidangan nasi goreng, nasi lemak, sate, roti canai, ayam percik, mee goreng dan teh tarik begitu popular di kalangan pelanggan Jom Makan.
Ditanya mengenai sambutan makanan Malaysia secara keseluruhannya, Mohd. Zuhri tidak menafikan promosi dan pemasaran begitu agresif dilakukan kerana ia terlalu baru bagi masyarakat di London.
‘‘Menu Malaysia tidak popular seperti mana makanan Jepun, Thailand, China, India dan Vietnam.
‘‘Pada awalnya memang susah hendak mempromosikan makanan Malaysia kerana ramai yang tidak mengetahui menu kita.
‘‘Tetapi sejak dua tahun lalu, usaha yang dilakukan sudah menampakkan kejayaan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, berdasarkan prestasi semasa, restoran Jom Makan menerima 3,500 pelanggan seminggu dan 14,000 orang sebulan, termasuk 95 peratus adalah warga asing dan bakinya adalah rakyat Malaysia yang melancong dan menetap di sana.
Mohd. Zuhri berkata, dengan prestasi tersebut, Jom Makan mampu memperoleh pendapatan sebanyak dua juta pound (RM10.8 juta) setahun.
Beliau berkata, jika prestasi itu dapat diperbaiki setiap tahun, Jom Makan bukan sahaja akan memperkukuh masakan Malaysia di luar negara sebaliknya boleh membantu meluaskan lagi perniagaan sokongan bagi restoran itu.
Ini termasuk kerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana bagi membekalkan produk pertanian, bahan masakan, perabot dan kelengkapan dapur.
Tambah beliau, dengan tema semua orang boleh makan dan masak makanan Malaysia, Jom Makan menawarkan perkhidmatan segera dengan tempoh menunggu kira-kira 10 minit untuk menikmati hidangan panas.
Restoran Jom Makan kini memiliki 63 kakitangan termasuk empat rakyat Malaysia dan bakinya terdiri di kalangan pekerja asing.
‘‘Untuk memastikan hidangan yang ada betul-betul memiliki rasa Malaysia, kita menyediakan piawaian prosedur dan pekerja perlu mematuhinya,’’ jelas beliau.