Insentif khas NKEA dalam Bajet 2011

1 JULAI 2010 - BERITA HARIAN

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan memberikan insentif khas kepada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dalam Bajet 2011 bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, khususnya bagi menjayakan Model Baru Ekonomi (MBE).

Perdana Menteri berkata, insentif itu turut bertujuan memastikan 12 makmal NKEA yang ditubuhkan kerajaan dapat menilai dan mencadangkan output ekonomi berkualiti tinggi dalam projek permulaan (EPP) dan peluang perniagaan.  

Perdana Menteri berkata, insentif itu turut bertujuan memastikan 12 makmal NKEA yang ditubuhkan kerajaan dapat menilai dan mencadangkan output ekonomi berkualiti tinggi dalam projek permulaan (EPP) dan peluang perniagaan.

“Saya perlu menimbangkannya sebagai sebahagian daripada bajet pada Oktober ini. Apa saja yang perlu disediakan seperti insentif, peruntukan fiskal dan insentif cukai, saya berhasrat menyenaraikannya dalam bajet,” katanya pada sesi taklimat mengenai pencapaian 12 makmal NKEA, di Pusat Latihan MAS di Kelana Jaya, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Datuk Seri Idris Jala dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, cadangan itu selari dengan hasrat kerajaan yang mahu menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi pada 2020.

Sebelum itu, Najib meluangkan masa hampir dua jam melawat 12 makmal NKEA yang setakat ini berjaya mengenal pasti 118 EPP dan 35 peluang perniagaan yang dijangka menyumbang USD155 bilion (RM496 bilion) kepada Keluaran Negara Kasar (KNK) pada 2020.

Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) yang diketuai Idris bertanggungjawab menjayakan output dan penemuan diperoleh makmal NKEA yang mengumpulkan 425 ahli dari 211 pertubuhan merangkumi sektor swasta dan awam.

 

Makmal berkenaan mengkaji dan menilai daya maju serta inisiatif 12 NKEA selama 10 minggu sejak Jun sehingga bulan ini dan hasil kajian dibentangkan kepada umum pada Ogos ini untuk mendapatkan maklumat balas.

 

Pada masa ini, makmal NKEA mengkaji pelbagai idea besar projek pembangunan dan aktiviti ekonomi negara yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

 

Semua 12 NKEA itu ialah minyak, gas dan tenaga; minyak sawit; perkhidmatan kewangan (termasuk pasaran modal); pemborongan, peruncitan dan pengedaran; pelancongan; telekomunikasi; pendidikan; elektrik dan elektronik; perkhidmatan perniagaan; perkhidmatan kesihatan; pertanian dan menjadikan Kuala Lumpur lebih hebat.

 

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, kerajaan mensasarkan meningkatkan KNK kepada USD504 bilion (RM1,612 bilion) menjelang 2020 daripada USD187 bilion (RM598 bilion) ketika ini.

 

Katanya, dalam tempoh empat minggu mulai sekarang, beliau mahu makmal NKEA mengenal pasti program dan aktiviti ekonomi yang mampu menjana USD80 bilion (RM256 bilion).

 

“Tidak mengapa Malaysia tidak layak menyertai pertandingan bola sepak Piala Dunia, namun saya mahu Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Saya yakin ia mampu dicapai,” katanya.

 

Najib juga berkata, kerajaan pada dasarnya menerima semua cadangan yang dikenal pasti dan dikemukakan oleh makmal NKEA, namun menegaskan masih ada beberapa perkara perlu diperkemaskan.

 

“Selepas ini, kita akan mewujudkan mekanisme pelaksanaan sesuai bagi memastikan semua cadangan dilaksanakan, sekali gus membantu kerajaan memantapkan Program Transformasi Ekonomi (ETP),” katanya.

 

Beliau turut berbangga dengan makmal berkenaan kerana berjaya menggabungkan pakar sektor swasta dan awam untuk membina program serta merancang pelaksanaan NKEA secara teliti serta berskala besar.