Francais pemangkin hubungan 2 negara

DATUK Ahmad Shalimin (tiga dari kiri) bersalaman dengan Paul Martins (kanan).

07 Februari 2010 - UTUSAN MALAYSIA


Industri francais kini menjadi jambatan kepada hubungan mesra lagi harmoni antara negara. Jalinan hubungan menjadi lebih erat setelah rakan niaga kedua-dua negara saling kenal mengenali dan mendalami budaya masing-masing.

Sememangnya pengetahuan mengenai adat resam dan budaya masyarakat di sesebuah negara penting dalam membina hubungan perniagaan. Ia juga boleh memupuk minat untuk saling mempelajari sehingga tercipta hubungan dua negara yang lebih bermakna.

Lebih daripada itu, ia juga membantu menjana pendapatan bagi kedua-dua negara serta membukai peluang pekerjaan yang lebih luas.

Sambutan Hari Australia baru-baru ini membuktikan betapa jalinan hubungan perniagaan mampu dirangkaikan kepada hubungan dua hala yang lebih positif.

Acara yang dianjurkan Gloria Jean's Coffees baru-baru ini bertujuan meraikan ulangtahun negara tersebut secara sederhana di di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Gloria Jean's Coffees adalah produk kafe yang berasal dari Australia dan merupakan perniagaan francais kedua terbesar di dunia. Ia di bawa masuk ke negara ini oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNS) menerusi anak syarikatnya Malaysian International Franchise Sdn Bhd (MyFranchise).

Kapal armada

Hari Australia yang diisytiharkan sebagai cuti umum bagi seluruh rakyatnya bertujuan mengenang ketibaan kapal armada pertama yang mengibarkan bendera British di Sydney Cove pada tahun 1788.

Pada majlis sambutan itu, Pengerusi MyFranchise, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie menarik perhatian mengenai jarak antara Malaysia dan Australia beribu kilometer tidak menghalang MyFranchise untuk berkongsi sambutan tersebut dengan rakan strategiknya dari Australia.

"Sebenarnya ini bukan setakat hubungan perdagangan antara Malaysia dan Australia tetapi lebih mencerminkan hubungan dua hala yang sentiasa erat dan kerjasama yang mantap. Semoga hubungan baik ini akan terus berkekalan selamanya," katanya.

Sambutan tersebut juga sejajar dengan statistik menunjukkan ribuan rakyat Australia menetap di negara ini sama ada untuk tujuan perniagaan, bekerja, berkahwin dengan warga tempatan atau melanjutkan pelajaran.

Turut hadir dalam majlis berkenaan Pesuruhjaya Perdagangan dan Pelaburan Kanan Kedutaan Australia di Malaysia, Paul Martins bersama ahli keluarga serta sahabat-handai terdekat dari Australia dengan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyFranchise, Shahrul Azlan Mohd Zulkipli.

Buluh

Pada majlis berkenaan, para tetamu terdiri daripada warga tempatan pelbagai kaum dan warga Australia yang menetap di negara ini dihiburkan dengan muzik tradisional rakyat negara itu yang menggunakan buluh dan gendang.

Manakala keunikan yang ditawarkan kafe itu adalah biji kopi yang dipetik dari ladang-ladang kopi yang mendapat akreditasi dari Rainforest Alliance Certified (Rainforest Alliance).

Kopi yang disajikan oleh kafe Gloria Jean's Coffee bukan sahaja mendapat jaminan kualiti kopi anti-oksida yang enak lagi berkhasiat malah membantu pekerja ladang mendapat gaji setimpal dan memelihara alam sekitar.

Ia bukan sahaja membantu meningkatkan kemajuan sektor peladangan kopi serta menambah keyakinan para pelanggan dalam setiap produk hidangannya atas jaminan kualiti.

MyFranchise adalah antara cabang syarikat pelaburan francais Perbadanan Nasional Berhad (PNS), dahulunya dikenali sebagai PERNAS . Agensi itu diberi mandat oleh kerajaan untuk menerajui pembangunan industri francais di negara ini dengan menyediakan bantuan kewangan dan kepakaran khidmat nasihat.

Mengulas lanjut, Ahmad Shalimin berkata, pihaknya yakin majlis ini dapat mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Australia. Beliau juga berharap Gloria Jean's Coffees mampu menjadi jambatan mengukuhkan hubungan dalam jangka panjang sama ada di peringkat kerajaan mahupun rakyat kedua-dua negara.