Focus Point Rancang 15 Cawangan Lagi

21 FEBRUARI 2008 - BERITA HARIAN

FOCUS Point Vision Care Group Sdn Bhd (Focus Point), peneraju rangkaian kedai cermin mata tempatan merancang membuka sehingga 15 cawangan baru di seluruh negara tahun ini.

Pengurus Pemasaran dan Promosi Focus Point, Jake Ng, berkata pembukaan setiap cawangan baru itu dianggarkan membabitkan pelaburan sehingga kira-kira RM300,000.

“Bagaimanapun, pelaburan itu mungkin lebih tinggi bergantung kepada lokasi dan saiz cawangan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pembukaan cawangan Focus Point ke-100 di Kuala Lumpur, semalam.

Cawangan Focus Point yang ke-100 di pusat beli belah Pavilion di tengah ibu kota itu juga adalah cawangan pertama syarikat itu menggunakan konsep perniagaan kiosk terbuka.

Pembukaannya disempurnakan Pengarah Urusan Focus Point, Datuk C L Liow.

Ng berkata, syarikat merancang membuka dua lagi cawangan dengan konsep serupa tahun ini dan kini sedang mencari lokasi yang sesuai.

“Konsep baru yang diperkenalkan ini akan mencerminkan operasi masa depan Focus Point yang mementingkan selera dan gaya hidup pelanggan yang mula berubah,” katanya.

Beliau menjelaskan, syarikat mengambil masa agak lama untuk melancarkan konsep kiosk terbuka itu kerana kesukaran mencari lokasi bersesuaian kerana konsep itu lebih sesuai dibuka di kawasan perniagaan elit.

“Secara kebetulan, cawangan di Pavilion menjadi cawangan ke-100 syarikat dan kami mendapati konsep kiosk terbuka lebih sesuai dibuka di sini berbanding lokasi lain Focus Point sebelum ini,” katanya.

Ng berkata, konsep kiosk terbuka diperkenalkan Focus Point lebih menekankan reka bentuk kontemporari bagi membolehkan pelanggan memilih cermin mata yang bersesuaian dalam suasana lebih santai dan fleksibel.

Selain itu, beliau menjelaskan, konsep kiosk terbuka juga menawarkan jenama cermin mata baru berkelas tinggi yang diimport dari Perancis dan Itali bagi memenuhi permintaan pelanggan.