CIMB Bank Perkemas Rangkaian Cawangan

18 FEBRUARI 2008 - UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Sebagai sebahagian langkah untuk memperkemaskan cawangan-cawangannya, CIMB Bank dan CIMB Islamic telah menutup 21 cawangannya seluruh negara semalam, mengurangkan jumlahnya kepada 362.

CIMB Group dalam satu kenyataan di sini berkata usaha ini merupakan fasa kedua rancangan CIMB Bank untuk mengoptimumkan rangkaiannya selepas mengambilalih Southern Bank Bhd., pada Mac 2006.

"Kami mengecilkan jumlah cawangan kami dengan menggabung, menutup atau menempatkan semula cawangan-cawangan yang berhampiran satu sama lain atau dalam lingkungan kawasan perniagaan yang sama.

"Selain daripada meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos, langkah ini membolehkan kami mewujudkan cawangan-cawangan di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan, sekali gus memenuhi keperluan pelanggan kami," kata Ketua Jualan Pengguna dan Pengedaran CIMB Bank, Sulaiman Mohd. Tahir.

Beliau menjelaskan bahawa dengan menggabungkan cawangan yang berhampiran satu sama lain juga boleh meningkatkan pengalaman perbankan pelanggan CIMB Bank.

"Premis kami yang lebih besar, dan diubahsuai bagi menyediakan persekitaran yang selesa kepada pengguna dan membolehkan kami memperkenalkan aliran proses yang lebih baik untuk melayan pelanggan dengan lebih berkesan," kata beliau.

Pelanggan telahpun dimaklumkan mengenai langkah memperkemaskan itu.

Akaun-akaun mereka akan dipindahkan secara automatik ke cawangan berhampiran dan nombor akaun akan ditukar.

Menurutnya pelanggan boleh terus menggunakan kad ATM dan buku cek mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai penutupan cawangan, pelanggan boleh menghubungi Pusat Panggilan CIMB di talian bebas tol 1300 880 900 atau melawat www.cimbbank.com.my.

- Bernama