Ceburi Perniagaan Francais Kopiesatu

31 MAC 2009 - HARIAN METRO

Oleh Mohd Amin Jalil

am@hmetro.com.my

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mempelawa individu Bumiputera yang mempunyai impian memulakan perniagaan kopi, menyertai program francais kopi jenama Kopiesatu yang kini dikendalikan usahawan bimbingan agensi itu.

Pengurus Pusat Hub Operasi Kopiesatu, Shikh Maidin Abdul Kadir, berkata Fama sedia memberi khidmat bimbingan dan latihan kepada mereka yang berminat dalam perniagaan berkenaan.

Menurutnya, Fama mempunyai pusat latihannya di Puchong Selangor untuk melatih individu yang berminat mendapatkan kemahiran dan menjalankan perniagaan produk minuman itu yang kini mendapat sambutan memberangsangkan.

“Konsep kios bergerak Kopiesatu mula beroperasi pada 2003. Ia cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kini jenama itu menawarkan 20 jenis minuman berasaskan kopi, dalam bentuk minuman panas dan sejuk.

“Setakat ini kita sudah mempunyai lima kios bergerak dan sebuah kios statik iaitu di jejantas Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) di Ayer Keroh, Melaka.

Menurutnya, pihaknya melalui kerjasama Fama mensasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 20 usahawan francais Kopiesatu menjelang akhir tahun ini dan yakin mampu dicapai berikutan potensi minuman itu yang mempunyai daya saing untuk berkembang maju.

“Kita berharap orang ramai terutama usahawan muda dan siswazah menganggur merebut peluang mencuba perniagaan ini kerana ia mampu menjanjikan pulangan memuaskan, malah kos untuk memulakannya tidak begitu besar,” katanya.

Mereka yang ingin menyertai program francais Kopiesatu boleh menghubungi Shikh Maidin di talian 012-2883757 atau 03-58824172.