Butik Avon Puteri di setiap kawasan

Harian Metro - Sabtu (4 Disember 2004)

AVON Cosmetics (M) Sdn Bhd, pemegang francais Butik Avon Puteri berhasrat memiliki butik seumpama itu di setiap kawasan memandangkan bilangan pelanggannya yang semakin bertambah.
Presiden Avon Malaysia, Mansoor Wan Abdullah berkata, sehingga ini, terdapat 165 cawangan Avon Puteri di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 18 kendalian Avon sendiri manakala 147 lagi dikendalikan orang perseorangan dan peniaga.

“Idea untuk memperkenalkan butik itu timbul apabila mendapat permintaan menggalakkan daripada masyarakat untuk menyertai kami,” katanya.

Katanya, selepas meneliti dan mendalami konsep itu sejak 1990 hingga 1994, syarikat berjaya membuka lapan cawangan pertama dikendalikan sepenuhnya oleh Avon.

Mansoor berkata, selepas itu, konsep itu terus dikembangkan kepada 94 orang perseorangan yang ingin membuka butik berkenaan.

“Secara purata modal diperlukan adalah RM100,000 membabitkan yuran francais dan sistem komputer sebanyak RM15,000.

“Apa yang istimewa mengenai francais Avon, mereka tidak perlu membayar sebarang royalti manakala keuntungan milik mereka sepenuhnya selepas ditolak semua kos,” katanya.

Selain itu, katanya, stok produk juga akan disediakan syarikat dan mereka hanya perlu menjual barangan berkenaan kepada pelanggan.

Sementara itu, lokasi juga memainkan peranan penting untuk meluaskan pasaran barangan Avon.

“Bagi kami, setiap kawasan yang ingin diterokai perlu ada sekurang-kurangnya 30,000 hingga 50,000 wanita.

“Ia bagi memudahkan kami mendapatkan pasaran yang lebih baik seterusnya merealisasikan impian kami untuk mengadakan satu kawasan satu butik di seluruh negara,” katanya.