Bank Rakyat Tambah Cawangan Tawar Kredit Mikro

13 FEBRUARI 2008 - BERITA HARIAN

BANK Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) akan menambah cawangannya yang menawarkan skim pembiayaan kredit mikro daripada 25 cawangan pada masa ini kepada 50 menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat, berkata langkah itu bagi menyediakan lebih peluang kepada peniaga kecil di bawah skim Modal Untuk Usahawan Koperasi (MUsK) yang sebelum ini sukar mengembangkan perniagaan kerana kekurangan modal, untuk memperoleh sumber pembiayaan.

Katanya, ini sekali gus menggalakkan perkembangan sektor koperasi sebagai sektor ketiga terbesar menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.


Beliau berkata, walaupun pembiayaan disalurkan menerusi skim itu agak perlahan bulan lalu, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran menyalurkan RM36 juta pinjaman kredit mikro kepada kira-kira 3,000 peminjam menjelang akhir tahun ini.


"Ia bermula agak perlahan tahun ini, dengan jumlah pinjaman yang disalurkan Januari lalu berjumlah kira-kira RM500,000. Selepas ini, kita kena tambah RM3 juta hingga RM4 juta sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis memeterai perjanjian penajaan antara Bank Rakyat dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Super League Sdn Bhd (MSL). Penajaan itu adalah bagi menjayakan Liga Super Malaysia 2008.

Kamaruzaman mewakili Bank Rakyat manakala FAM oleh Timbalan Presidennya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang juga Pengerusi MSL.

Hadir sama Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Syed Jalaludin Syed Salim; Setiausaha Agung FAM, Jeneral (B) Datuk Azzuddin Ahmad; dan Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat yang juga Setiausaha Bank Rakyat, Datuk Rosely Samsuri.

Kamaruzaman berkata, 25 daripada 112 cawangan Bank Rakyat menawarkan skim pinjaman mikro kredit itu, meliputi semua negeri di Malaysia, kecuali Sabah dan Sarawak.

Katanya, sehingga penghujung tahun lalu, bank itu menyalurkan pinjaman berjumlah RM2.5 juta menerusi skim kredit.

"Bank menyalurkan pinjaman antara RM5,000 hingga RM50,000 kepada 243 usahawan membabitkan 62 koperasi panel," katanya.

Keunikan skim MUsK yang dilancarkan April 2007 ialah ia menyarankan pembentukan kumpulan bantu diri di kalangan pemohon pembiayaan yang merangkumi peniaga kecil berusia 18 hingga 65 tahun untuk saling membantu antara satu sama lain bagi mengukuhkan perniagaan melalui kemudahan ditawarkan.

Keistimewaan skim itu termasuk tiada cagaran dan jaminan, jumlah ansuran pembiayaan yang kecil serta keperluan dokumen minimum, selain kelulusan pembiayaan boleh diperoleh dalam tempoh 10 hari.