Anugerah Iktiraf Usahawan Wanita

4 DISEMBER 2009 - UTUSAN MALAYSIA


Finalis yang terpilih ke peringkat akhir dalam Anugerah Usahawan Wanita Kebangsaan 2009 anjuran MITI di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

BEBERAPA tahun lalu, sektor perniagaan adalah bidang yang sinonim dengan lelaki sehingga boleh dikatakan 90 peratus usahawan di negara ini pada masa itu adalah kaum Adam.

Hari ini, penglibatan wanita sebagai pemilik perniagaan di negara ini bagai 'cendawan tumbuh selepas hujan' hingga tidak keterlaluan dinyatakan, pembabitan wanita dalam bidang ini hampir sama dengan jumlah usahawan lelaki.

Lebih membanggakan, ada syarikat terkemuka tempatan yang berjaya mencipta nama hingga ke peringkat antarabangsa adalah milik wanita.

Clara International Beauty Group, NR Architect and Interior Design, Sipro Plastic Sdn. Bhd., Ms Read Malaysia, Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd., Esthetics International Group Bhd., Zinni Group Sdn. Bhd., Megapadu Sdn. Bhd., Kagayaku Logistics Malaysia Sdn. Bhd. dan A Cut Above adalah antara bukti syarikat yang berjaya diasas dan diperkukuhkan wanita sehingga. dipertandingkan pada Anugerah Usahawan Wanita Kebangsaan 2009 yang diadakan di Hotel Istana Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Anugerah anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui agensinya, Perbadanan SME Malaysia itu bertujuan mengiktiraf pencapaian usahawan wanita di negara ini yang mampu membawa syarikat masing-masing ke puncak kejayaan.

Ia juga bagi menghargai usaha ahli perniagaan wanita yang sanggup memikul tiga tugasan penting dan bijak membahagikan masa sebagai seorang usahawan, isteri serta ibu berjaya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata, anugerah itu diperkenalkan sebagai cara menyuarakan penghargaan tinggi terhadap peranan usahawan wanita yang membantu ekonomi negara.

"Pemberian anugerah ini bukan sahaja dinilai daripada kecekapan usahawan itu, tetapi juga berdasarkan keupayaan mereka menguruskan syarikat dan kewangan perniagaan, selain visinya dalam 'memandu' syarikat masing-masing.

"Kerajaan kagum dengan kebolehan wanita seperti ini menjaga perniagaan serta keluarga, dan inilah kualiti yang membezakan usahawan wanita daripada rakan perniagaan lelaki mereka yang mana ia sudah tertulis dalam DNA mereka," katanya ketika berucap pada anugerah itu.

Anugerah disampaikan oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Hadir sama isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Pada anugerah itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan Smart Reader Worldwide (Smart Reader) yang juga pengasas empayar perniagaan berkaitan bidang pendidikan awal kanak-kanak itu, Dr. Wong Kim Ha, diumumkan sebagai juara keseluruhan menewaskan sembilan finalis lain.

Beliau bagaimanapun tidak dapat hadir kerana mengalami masalah kesihatan.

Dalam ucapan beliau yang dibacakan wakilnya, Kim Ha berkata, kejayaan Smart Reader memperoleh anugerah itu adalah atas sokongan dan kerjasama yang diberikan semua pihak berkaitan termasuk ahli keluarga, rakan-rakannya serta ibu bapa kanak-kanak sendiri.

"Kini, jenama Smart Reader berjaya difrancaiskan ke seluruh negara dengan mempunyai kira-kita 2,300 pusat dan ia juga berjaya menembusi pasaran di luar negara yang mana ketika ini terdapat 150 pusat pendidikan seumpamanya di China, Thailand, Filipina, Syria, Brunei dan Jordan.

"Setakat ini, ia juga berjaya memenangi 15 anugerah peringkat tempatan dan antarabangsa kerana kaedah pendidikan asas yang diperkenalkan kepada kanak-kanak membantu perkembangan awal mereka," katanya.

Kim Ha berkata, anugerah ini amat penting bagi menghargai usaha setiap usahawan wanita yang bertungkus-lumus mengukuhkan perniagaan.

Katanya, bukan mudah bagi seseorang usahawan wanita terus bersaing dan berkorban untuk perniagaan mereka kerana pada waktu sama, perlu memikul tanggungjawab penting sebagai isteri dan ibu.

"Setiap individu, bagi pandangan saya, ada keistimewaan tersendiri dan dilahirkan sebagai seorang pejuang untuk berjaya, bukannya gagal.

"Apa yang penting untuk berjaya dalam sesuatu bidang termasuk perniagaan, seseorang perlu berusaha dan mempunyai kepercayaan yang tinggi kepada diri sendiri," katanya.

Kim Ha menerima hadiah wang tunai, produk kecantikan serta pakej pelancongan bernilai lebih RM150,000 dan sebuah kereta Proton Persona.

Tempat kedua dimenangi usahawan bidang fesyen dan pakaian dari Ms Read (M) Sdn. Bhd., Helen Elizabeth Leong, manakala tempat ketiga menjadi milik pengusaha syarikat Sipro Plastic Industries Sdn. Bhd., Noraini Soltan.

Selain tiga anugerah utama itu, penganjur mempertandingkan dua anugerah khas iaitu Anugerah Usahawan Luar Biasa yang dimenangi pengasas NR Architect & NR Interior Design, Nafisah Radin dan Anugerah Usahawan Platinum yang dimiliki pengusaha Clara International Beauty Group, Datin Dr. Clara L. Chee.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan SME Malaysia, Datuk Dr. Mohamed Al Amin Abdul Majid berkata, Anugerah Usahawan Luar Biasa diperkenalkan bagi mengiktiraf kejayaan usahawan yang melalui cabaran luar biasa dalam memajukan perniagaan.

Ujarnya, anugerah Usahawan Platinum pula bertujuan untuk mengiktiraf usahawan yang masih bergiat cergas dalam perniagaan walaupun berusia 60 tahun ke atas.

"Kami menerima 40 pencalonan untuk pertandingan tahun ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang perniagaan," tambahnya.