A&W Sasar 100 Cawangan Menjelang 2015

19 MEI 2010 - BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Unit makanan segera KUB Malaysia Bhd, A&W (M) Sdn Bhd, yang kini mempunyai 41 restoran A&W, menyasar untuk meningkatkan jumlahnya kepada 50 menjelang akhir tahun ini dan 100 cawangan menjelang 2015.

"Kami melabur kira-kira RM1 juta bagi setiap cawangan kecuali bagi cawangan Bukit Bintang yang menelan belanja RM1.7 juta untuk memperbaharui dan menjadikannya sebagai ikon cawangan A&W," kata Pengurus Besar, Pembangunan Perniagaan Kumpulan KUB Malaysia, Haniza Ros Nasaruddin.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas pelancaran peraduan "A&W What's Your Story?" di sini pada Rabu.

Haniza berkata KUB Malaysia memulakan usaha pengembangan secara agresif dan pembaharuan bagi A&W Malaysia sejak 2008.

Mengenai persaingan pasaran makanan segera, beliau berkata A&W merupakan francais makanan segera pertama di Malaysia, yang dibuka di sini 47 tahun lalu.

Ia telah mempunyai peminat sendiri, katanya dan menambah bahawa ia tidak mempunyai masalah untuk bersaing dengan restoran makanan segera yang lain.

Mengenai peraduan "A&W What's Your Story?, Pengarah Urusan kumpulan KUB Malaysia Datuk Mohd Nazar Samad berkata ia bertujuan mencapai pelanggan yang menyokong jenama A&W di samping berkongsi pengalaman bersama A&W secara kreatif serta berpeluang memenang hadiah bernilai lebih RM50,000.

Beliau berkata peraduan ini akan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu video dan bertulis, bermula 22 Mei hingga 10 Julai dan terbuka untuk semua rakyat Malaysia berumur 12 ke atas.

"Dengan dua kategori berbeza dan pelbagai kaedah penyerahan, peraduan ini akan menarik banyak pelanggan," katanya.

Peserta hanya perlu berbelanja RM18.00 tidak termasuk cukai dalam satu resit akan menerima kad gores peraduan yang membolehkan mereka mengemukakan satu penyertaan, jelasnya.

A&W yakin peraduan ini akan mendapat sambutan baik rakyat Malaysia memandangkan ia akan membolehkan pelanggan setia mengenang kembali masa gembira dalam hidup mereka, katanya.

-- BERNAMA