9 cawangan baru

13 FEBRUARI 2010-HARIAN METRO

 

ANAK syarikat milik penuh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, Rakyat Management Services Sdn Bhd (RMS) yang bertanggungjawab mentadbir dan menyelia koperasi menjalankan francais pajak gadai secara Islam, Ar-Rahnu X'Change menjangka mengeluarkan pinjaman berjumlah RM88 juta, berbanding RM63 juta pada tahun lalu.

PENJELASAN...Pegawai Operasi Emas Ar-Rahnu X’'Change, Mas Eniky Zakaria (kanan) menjelaskan kepada pelanggan mengenai barang kemas yang ditimbang selepas Majlis Perasmian Francais Ar-Rahnu X’Change.
PENJELASAN...Pegawai Operasi Emas Ar-Rahnu X’'Change, Mas Eniky Zakaria (kanan) menjelaskan kepada pelanggan mengenai barang kemas yang ditimbang selepas Majlis Perasmian Francais Ar-Rahnu X’Change.

Pengurus Besar RMS, Mohamad Sabri Mohamed Nor, berkata peningkatan itu berdasarkan keyakinan pihaknya yang masyarakat kini yakin dengan perkhidmatan disediakan selain perancangan untuk menambah Ar-Rahnu X'Change kepada 25 premis iaitu tambahan sembilan cawangan baru sepanjang tahun ini.

 

Beliau berkata,terdapat tujuh Ar-Rahnu X'Change dimiliki sepenuhnya Bank Rakyat dan sembilan francais Ar-Rahnu X'Change diuruskan koperasi termasuk milik Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat Berhad (Koperasi KGMMB), yang dirasmikan semalam.

 

“Ini adalah perancangan korporat Bank Rakyat untuk membantu koperasi mendapat perniagaan melalui pajak gadai secara islam.


“Pada tahun ini, kami membuka francais Ar-Rahnu X'Change dan selepas milik Koperasi KGMMB yang dirasmikan hari ini, tinggal lagi sembilan dengan lokasi berikutnya di Taman Seri Muda, Shah Alam milik Koperasi Hidayah pada bulan depan.

“Selepas ini, kita sedang berusaha untuk menubuhkan francais Ar-Rahnu X'Change milik sebuah koperasi di Sabah dan Kota Bharu, Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Francais Ar-Rahnu X'Change milik Koperasi KGMMB oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Perniagaan Cheras Maju, Balakong, semalam.

Mohamad Sabri berkata, francais Ar-Rahnu X'Change hanya dibuka kepada koperasi dan setakat ini, RMS menerima banyak permintaan daripada pelbagai koperasi untuk menjalankan skim pajak gadai Islam itu.