2 lagi disenarai akhir tahun

1 JULAI 2010 - UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 30 Jun - Selepas mengumumkan tawaran awam permulaan (IPO) Berjaya Retail Bhd. (B-Retail) hari ini, tokoh korporat tempatan, Tan Sri Vincent Tan berkata, dua lagi syarikat miliknya akan disenaraikan pada akhir tahun ini.

Syarikat-syarikat itu ialah Berjaya Roasters (M) Sdn. Bhd., pengendali restoran makanan segera Kenny Rogers Roasters dan Berjaya Pizza Company Sdn. Bhd., pemilik restoran makanan segera Papa's John.

Kedua-dua syarikat itu adalah di bawah operasi Berjaya Food Bhd., syarikat kepunyaan Berjaya Corporation Bhd. (BCorp) dikuasai Tan yang juga menjadi pengerusi syarikat itu.

Tan berkata demikian pada majlis pelancaran prospektus B-Retail di sini. Turut hadir Pengarah Urusan Korporat dan Institusi Perbankan Ambank Group, Pushpa Rajadurai, Pengarah Eksekutif 7-Eleven, Ng Su Onn dan Pengarah Urusan Singer, Yeap Dein Wah.

Mengulas tentang IPO anak syarikat BCorp, B-Retail, Tan berkata, pihaknya menjangkakan hasil IPO berjumlah antara RM38.4 juta hingga RM53.4 juta daripada syarikat yang akan disenaraikan di Papan Utama, Bursa Malaysia pada pertengahan Ogos ini.

IPO itu melibatkan sekurang-kurangnya 71.87 juta sehingga 101.87 juta saham-saham biasa bernilai RM0.50 setiap saham pada harga tawaran RM0.50 sesaham.

Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 61.87 juta hingga 91.87 juta saham diperuntukan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, lima juta saham untuk terbitan awam (bumiputera), tiga juta saham untuk para pemegang saham minoriti dan dua juta saham lagi untuk orang awam.

Selain itu, B-Retail juga menawarkan jualan lima juta saham keutamaan boleh ubah tidak boleh tebus (ICPS) bernilai RM0.50 untuk para pengarah B-Retail dan juga BCorp serta kakitangan mereka yang layak.

Jumlah modal kerja B-Retail menjelang penyenaraian itu adalah RM750 juta dan AmInvestment Bank Bhd. (AmInvestment) menjadi penasihat dalam proses penyenaraian itu.

Pengarah B-Retail, Datuk Azlan Meah menyifatkan pengapungan saham B-Retail sebagai bertepatan dengan masa ketika ekonomi mulai pulih dan tahap keyakinan pengguna juga meningkat.

Azlan berkata, ia memberikan petanda baik kepada dua segmen perniagaan di bawah B-Retail iaitu 7-Eleven Malaysia Sdn. Bhd. (7-Eleven) dan Singer (M) Sdn. Bhd. (Singer).

7-Eleven menyumbang 53 peratus kepada keuntungan sebelum cukai B-Retail manakala sumbangan Singer adalah sebanyak 47 peratus.

Sehingga kini, 7-Eleven mempunyai 1,127 buah kedai di seluruh negara sejak ditubuhkan pada 1984 manakala Singer mempunyai kira-kira 560 buah kedai dengan 3,500 ejen jualan persendirian.

Su Onn menambah, pihaknya menyasarkan pembukaan 150 buah kedai lagi pada tahun ini dengan kos RM35 juta (RM250,000 setiap buah) sebagai salah satu program perluasan syarikat pada tahun ini.

Beliau menambah, pihaknya juga menyasarkan untuk melantik 100 pemegang francais kedai berkonsep itu.

Sementara itu, Dein Wah juga berkata, pada tahun ini, Singer turut menunjukkan aliran pertumbuhan perniagaan seperti mana 7-Eleven.

Katanya, pendekatan perniagaan yang memperkenalkan skim pembayaran mudah kepada pembeli banyak membantu sektor jualan kelengkapan rumah di negara ini.

"Kira-kira 90 peratus perolehan diraih melalui skim pembayaran mudah dan tetap yang menjadi semakin popular,'' kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Tan berkata, pihaknya masih menunggu kelulusan kerajaan untuk membina kilang kereta secara usahasama di Malaysia.

Beliau juga menambah, pihaknya sudah mengemukakan rayuan setelah gagal buat pertama kali untuk mendirikan kilang pengeluaran kereta model 1.8 liter atau lebih di negara ini kerana dikatakan tidak memenuhi garis panduan Dasar Automotif Negara (DAN).