1Malaysia Stesen Francais bermula di Johor

28 MEI 2012 - UTUSAN MALAYSIA

JOHOR BAHRU 25 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memulakan projek perintis 1Malaysia Stesen Francais di negeri ini dengan memilih Jalan Segget sebagai lokasi pertama yang menempatkan empat francaisi.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) itu menempatkan empat francaisi yang menjalankan perniagaan secara kiosk atau ‘push-cart’.

“1Malaysia Stesen Francais merupakan konsep untuk menempatkan perniagaan sajian francais yang berpakej mikro di bawah satu bumbung. Empat francaisi di Jalan Segget adalah Ani Sup Utara, Long Burger, Bangi Express dan Legend‘s Claypot Briyani House.

“Ia bertujuan menggalakkan lebih ramai usahawan merebut peluang menceburi perniagaan francais supaya mendapat menambah pendapatan isi rumah bagi mengimbangi kos sara hidup yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Usahawan Pembangunan Sektor Francais di Kawasan Pentadbiran MBJB, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, empat francaisi lagi dijangka dibuka di bandar raya ini iaitu di Taman Merdeka, Taman Setia Tropika, Bandar Baru Uda dan Hutan Bandar dan akan diperluaskan ke negeri lain memandangkan ia dapat membantu pembangunan dan menjana ekonomi negara.

Menurut beliau, kerajaan memperuntukkan RM8 juta untuk skim pinjaman francais mikro sebanyak RM50,000 bagi setiap francaisi yang hendak memulakan perniagaan dengan tempoh melunaskan pinjaman selama lima tahun.

Katanya, sebanyak 611 francais pelbagai sektor telah didaftarkan di negara ini sehingga 21 Mei lepas dengan 419 daripadanya adalah francais tempatan manakala 192 lagi asing.

“Sebanyak 5,455 perniagaan francaisi telah diwujudkan daripada 611 francais yang berdaftar berkenaan dan ini merupakan satu peningkatan yang amat baik iaitu 40 peratus jika dibandingkan hanya 3,891 pada tahun 2008," katanya.