10 bidang dibincang dalam konsultasi bajet 2011

7 JULAI 2010 - UTUSAN MALAYSIA

PUTRAJAYA 6 Julai - Sebanyak 10 bidang dibincangkan dalam Majlis Konsultasi Bajet 2011 yang dihadiri lebih 400 wakil agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC).

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bidang tersebut meliputi transformasi kepada ekonomi berpendapatan tinggi, pembangunan modal insan untuk Model Baru Ekonomi (MBE), menaikkan pelaburan swasta, usahasama bijak di bawah MBE serta meningkatkan potensi sektor perkhidmatan.

Menurut Perdana Menteri, turut dibincangkan usaha meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan, merebut peluang global, mengukuhkan tanggungjawab sosial korporat (CSR), inklusif dalam MBE serta meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

''Sebanyak 64 memorandum mengenai Bajet 2011 diterima untuk diteliti dan dipertimbangkan oleh kerajaan.

''Belanjawan 2011 menandakan tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk mengorak langkah ke arah transformasi negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya dalam ucapan penutup majlis konsultasi tersebut di sini hari ini.

Mengenai tenaga boleh diperbaharui, Najib berkata, Kabinet memutuskan supaya Pejabat Perdana Menteri di sini ditukar kepada bangunan yang memenuhi penarafan bangunan hijau.

''Pejabat Perdana Menteri akan menjadi penanda aras untuk bangunan yang lain.

''Kita perlu bergerak ke arah hijau dan mesti menyediakan insentif yang cukup kepada sektor awam dan swasta untuk melabur dalam teknologi hijau," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, syarikat terutama GLC perlu meningkatkan sokongan yang diberikan kepada pekerja dalam subsektor tertentu seperti perladangan.

''Kita juga perlu menjaga kebajikan pekerja dan perlu meningkatkan sokongan yang diberikan kepada pekerja dalam subsektor tertentu.

''Syarat perkhidmatan dan kemudahan kepada pekerja perlu diambil berat, GLC kita perlu menjadi penanda aras dalam menjaga kebajikan pekerja," katanya.

Najib berkata, majlis konsultasi itu turut menyentuh tentang keperluan untuk menyokong inovasi sebagai landasan transformasi ekonomi.

''Kita sentuh tentang bagaimana untuk memberi dana kepada sektor swasta dan universiti supaya inovasi menjadi pemboleh utama untuk menjana sumber kekayaan yang baru," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memastikan semua langkah yang digariskan dalam RMK-10 dipantau rapi bagi mengekalkan rentak pertumbuhan ekonomi negara.

Najib berkata, projek-projek berimpak tinggi dan berganda akan dipastikan dilaksana mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

''Projek-projek berkenaan ada yang melibatkan agensi kerajaan dan GLC akan menjadi projek utama bagi menyediakan rangsangan dan mengukuhkan pembangunan.

''Dalam keadaan kemungkinan berlaku kelembapan (pertumbuhan) pada separuh tahun kedua, perkara ini tidak tentu lagi berlaku tetapi disebabkan iklim ekonomi luaran, kita mesti memastikan permintaan domestik terus kekal tinggi dan kuat," katanya.

Malaysia perlu kekal mencatatkan pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya enam peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi memastikan matlamat mencapai status negara maju pada 2020 dapat dicapai.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama tahun ini mencatatkan pertumbuhan sebanyak 10.1 peratus, iaitu kadar tertinggi bagi tempoh suku pertama sejak 2000.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan mengenal pasti 12 bidang utama meningkatkan pertumbuhan sebagai Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) bagi membolehkan negara membuat lonjakan pertumbuhan, pendapatan dan kualiti hidup.

''Ini akan dicapai dalam satu suasana iklim pengurusan fiskal yang berhemah dan kestabilan makroekonomi.

''Kerajaan akan memastikan pelbagai kumpulan dan golongan pinggiran terus mendapat manfaat daripada pembangunan negara," katanya.