Pembangunan Sektor Francais Dalam Ekonomi Malaysia

Oleh Y. Bhg. Dato' Abdul Rahman Husin
Timbalan Ketua Setiausaha (U)
Kementerian Pembangunan Usahawan


1. PENDAHULUAN

1.1. Perniagaan francais adalah merupakan perniagaan yang paling cepat berkembang di peringkat global. Di Amerika Syarikat, mengikut kajian yang dibuat pada tahun 1994, 35% daripada jumlah keseluruhan jualan runcit negara berkenaan adalah daripada outlet francais. Mengikut kajian berkenaan juga terdapat lebih dari 550,000 outlet francais di negara tersebut dengan nilai jualan tahunan lebih dari US$800 bilion.

1.2. Restoran McDonald's yang pada masa ini mempunyai lebih dari 20,000 restoran di seluruh dunia, telah menggunakan sistem francais untuk mengembangkan perniagaannya di mana 85% daripada jumlah restorannya adalah diuruskan secara francais. Mengikut kajian European Franchising, Progress & Prospects 1998, terdapat 3,838 sistem francais di 13 buah negara Eropah dengan bilangan outlet francais sebanyak 167,432 buah. John Naisbitt, pengarang Megatrends pula mengatakan sistem francais adalah satu-satunya konsep pemasaran yang paling berjaya.

1.3. Di Malaysia, Kerajaan telah mengenalpasti perniagaan francais sebagai satu di antara mekanisma yang paling cepat dan berkesan dalam membangunkan usahawan-usahawan tempatan dan telah menjadikan Program Pembangunan Francais sebagai satu di antara program utama untuk membangunkan usahawan Golongan Menengah Bumiputera dan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB). Di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh, Kerajaan telah menetapkan sasaran untuk membangunkan seramai 1,200 francaisi dan di bawah Rancangan Malaysia Kelapan, sasaran yang telah ditetapkan ialah seramai 1,000 francaisi.  

2. PERKEMBANGAN PERNIAGAAN FRANCAIS DI MALAYSIA

2.1. Di Malaysia, perniagaan melalui sistem francais adalah agak baru. Sebelum tahun 1990'an, perniagaan francais tidak begitu dikenali. Pada masa itu hanya terdapat beberapa buah perniagaan sahaja yang dijalankan secara francais seperti Singer, Bata, stesen-stesen minyak dan pengedar-pengedar kenderaan. Ianya hanya mula dikenali ramai selepas Kerajaan melancarkan Program Pembangunan Francais pada tahun 1992 dan selepas Persatuan Francais Malaysia ditubuhkan pada tahun 1994. Sejak itu pelbagai program dan aktiviti telah dijalankan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat usahawan mengenai potensi perniagaan francais di negara ini.

2.2. Dari segi pertumbuhan industri francais, pada masa ini Malaysia menduduki tangga yang kedua (2) di kalangan negara Asia dan tangga yang kedua puluh satu (21) di dunia. Mengikut perangkaan, sebanyak 5% dari jumlah jualan runcit tahunan di Malaysia adalah daripada outlet francais. Ini adalah sesuatu yang membanggakan memandangkan industri francais di Malaysia masih agak baru berbanding dengan negara-negara lain. Kementerian tidak mempunyai data yang tepat mengenai bilangan sebenar perniagaan francais yang dijalankan di negara ini. Walau bagaimanapun adalah dianggarkan terdapat 268 buah perniagaan yang difrancaiskan dan sebanyak 6,500 outlet perniagaan francais di Malaysia. Sebahagian besar daripada perniagaan francais ini adalah dalam sektor makanan, perkhidmatan, aksesori wanita, keperluan rumah dan telekomunikasi. 

2.3. Potensi perniagaan francais Malaysia untuk berkembang ke negara Asean dan lain-lain negara adalah cerah.   Kerajaan sentiasa memberi galakan ke atas usaha ini. Pada masa ini belum banyak produk francais tempatan difrancaiskan ke luar negara.  Setakat ini perniagaan seperti Langkawii Crystall, Marrybrown Fried Chicken, Nelson's dan Sugar Bun merupakan di antara produk-produk tempatan yang telah memfrancaiskan perniagaan mereka ke luar negara.

3. PERANAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN USAHAWAN

3.1. Dasar Kerajaan bagi Program Pembangunan Francais adalah untuk membangunkan seramai 1,000 francaisi di bawah Rancangan Malaysia Kelapan. Bagi mempastikan sasaran tersebut dapat dicapai, Kementerian telah dan akan melaksanakan beberapa program dan aktiviti dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia dan agensi-agensi sokongan. Di antara program dan aktiviti tersebut ialah:-

  (i) Mendaftar dan membangunkan produk francais
   Produk-produk ini termasuklah perniagaan tempatan yang sedia ada, perniagaan baru yang dibangunkan dan produk-produk daripada luar negara. Sehingga ini Kementerian telah mendaftarkan sebanyak 84 produk francais di bawah Program Pembangunan Francais bagi produk-produk yang sedia ada dan juga bagi produk-produk yang baru dibangunkan. Bagi produk-produk luar negara pula, Kementerian melalui agensi-agensinya iaitu Johor Corporation dan Perbadanan Nasional Berhad telah membawa masuk beberapa produk dari luar negara seperti restoran makanan segera Skylark dari Jepun, produk El-Torito Expressway, HC Duraclean, Service Master, Mr. Electric dari Amerika Syarikat dan Restoran Natrabu dari Indonesia.

  (ii) Program Latihan
   Beberapa siri program latihan telah diadakan dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia dan Universiti Utara Malaysia. Ini termasuklah Kursus Asas Francaisi dan Kursus Asas Francaisor yang telah diadakan sebanyak empat kali pada tahun ini iaitu pada bulan Februari, Mac, Mei dan Julai. 

  (iii) Program Promosi
   Sebanyak empat seminar dan ekspo francais telah diadakan di seluruh negara bagi tahun 2001 bagi mempromosikan perniagaan francais. Ini termasuklah di Terengganu pada 15 & 16 Februari, di Sarawak pada 14 & 15 April, di Negeri Sembilan pada 26 & 27 Jun dan di Negeri Perak pada 19 - 21 Julai 2001.

  Sebanyak empat seminar dan ekspo lagi telah dirancang untuk diadakan pada tahun ini di peringkat negeri iaitu di Kelantan, Johor, Pahang dan Pulau Pinang sementara di peringkat nasional pula Kementerian telah bekerjasama dengan Persatuan Francais Malaysia menganjurkan 'Franchise International Malaysia 2001' yang sedang berlangsung sekarang ini.

  (iv) Kemudahan Kewangan
Sebanyak dua skim kemudahan kewangan telah disediakan oleh Kementerian kepada usahawan-usahawan yang terlibat dalam perniagaan francais samada sebagai francaisi atau sebagai sebagai francaisor. Bagi francaisi-francaisi dan francaisor, mereka boleh mendapatkan kemudahan pinjaman di bawah Skim Pembiayaan Francais yang menyediakan kemudahan pinjaman dengan kadar faedah yang lebih rendah daripada kadar faedah pasaran semasa. Di bawah Skim tersebut, Kerajaan membiayai 6% daripada kadar faedah semasa bagi dua tahun pertama, 4% bagi tahun ketiga dan 2% bagi tahun keempat dan seterusnya. Peminjam-peminjam di bawah Skim berkenaan tidak diperlukan menyediakan penjamin atau cagaran disebabkan Perbadanan Jaminan Kredit akan menyediakan jaminan kepada pinjaman di bawah Skim tersebut.

Sehingga ini seramai 84 usahawan yang menjalankan perniagaan francais telah mendapat kemudahan pinjaman di bawah skim tersebut dengan jumlah pinjaman sebanyak RM23.04 juta.

 Selain itu syarikat-syarikat francaisor juga boleh mendapat kemudahan bantuan geran di bawah Skim Bantuan Pembangunan Francais. Kemudahan tersebut disediakan untuk membantu syarikat-syarikat francais tempatan membangunkan pakej francais bagi membolehkan syarikat-syarikat berkenaan memfrancaiskan perniagaan mereka kepada usahawan-usahawan lain. Di bawah Skim tersebut syarikat-syarikat francaisor yang layak akan diberikan bantuan geran 90% daripada kos projek atau maksima RM100,000.00 yang mana lebih rendah. Pemberian bantuan akan dibuat mengikut fasa-fasa pembangunan dan jadual kelayakan bantuan berdasarkan pembayaran semula (reimbursement).

Sehingga ini sebanyak 21 buah syarikat francaisor telah mendapat kemudahan di bawah skim tersebut dengan jumlah bantuan sebanyak RM1.11 juta.

4. STRATEGI PEMBANGUNAN PERNIAGAAN FRANCAIS

4.1. Beberapa strategi baru telah dirangka di samping penerusan strategi-strategi yang sedia ada bagi membolehkan sasaran yang ditetapkan bagi membangunkan seramai 1,000 francaisi dalam Rancangan Malaysia Kelapan dapat dicapai. Strategi-strategi berkenaan merangkumi aspek-aspek penting pelaksanaan Program Pembangunan Francais iaitu:-

(i) Membangunkan produk francais tempatan;

(ii) Memfrancaiskan perniagaan yang sedia ada;

(iii) Menggalakkan 'conversion' perniagaan-perniagaan yang dipunyai dan diuruskan sendiri oleh syarikat kepada perniagaan francais;

(iv) Mengenalpasti produk francais luar negara yang berpotensi untuk difrancaiskan kepada usahawan-usahawan tempatan;

(v) Meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai perniagaan francais;

(vi) Meningkatkan bilangan juru perunding francais yang pakar dalam bidang berkenaan;

(vii) Menubuhkan sebuah perbadanan iaitu Perbadanan Pembangunan Francais (FRANDEC) yang akan menjadi agensi utama (lead agency) dalam pembangunan perniagaan francais negara khususnya dalam mempercepatkan peningkatan bilangan usahawan dalam sektor peruncitan;

(viii) Menguatkuasakan pelaksanaan Akta Francais 1998 dengan tegas dan berkesan;

(ix) Mengadakan kajian dan penyelidikan mengenai perniagaan francais dalam negeri bagi membolehkan perancangan yang berkesan dapat dilakukan;

(x) Membantu memantapkan keberkesanan Persatuan Francais Malaysia; dan

(xi) Mewujudkan satu pangkalan data yang kemaskini dan komprehensif mengenai perniagaan francais di negara ini bagi tujuan perancangan pembangunan perniagaan francais negara.

5. PROGRAM DAN AKTIVITI DI BAWAH RANCANGAN MALAYSIA KELAPAN

5.1. Di bawah Rancangan Malaysia Kelapan, Kementerian Pembangunan Usahawan akan melaksanakan beberapa program dan aktiviti bagi membangunkan seramai 1,000 francaisi di bawah Program Pembangunan Francais. Di antara program dan aktiviti yang akan dilaksanakan termasuklah:-

(i) Mengenalpasti produk-produk tempatan yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai perniagaan francais dengan mengadakan perundingan dengan pemilik perniagaan dan melalui penyediaan kemudahan-kemudahan serta bantuan yang diperlukan dari segi kewangan, khidmat nasihat dan rangkaian pasaran.

(ii) Membangunkan produk-produk yang sama dengan produk-produk tempatan yang sedia ada di pasaran untuk difrancaiskan sekiranya didapati berpotensi sebagai perniagaan francais. Kementerian melalui agensinya akan menjalankan perniagaan tersebut sehingga berjaya dan seterusnya diambilalih oleh usahawan Bumiputera tempatan untuk difrancaiskan. Ini akan membolehkan produk-produk berkenaan dibangunkan sebagai perniagaan francais walaupun pemilik produk tidak bersedia untuk memfrancaiskan perniagaan mereka buat masa ini.

(iii) Mengenalpasti perniagaan-perniagaan francais luar negara yang berpotensi untuk dibawa masuk ke Malaysia dan kemudiannya membeli hak secara terus bagi perniagaan-perniagaan tersebut sebagai francaisi induk. Perniagaan tersebut seterusnya akan difrancaiskan kepada usahawan-usahawan tempatan sebagai francaisi dan kemudiannya memberi peluang kepada usahawan-usahawan yang berpotensi untuk memiliki hak francaisi induk tersebut. Pembelian hak ini akan dibuat menerusi agensi-agensi Kementerian seperti Perbadanan Nasional Berhad dan Perbadanan-Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri.

(iv) Mengembangkan perniagaan produk-produk francais tempatan ke peringkat global. Ini termasuklah produk-produk francais yang sedia ada dan yang baru dibangunkan serta produk-produk francais yang dibangunkan dalam bentuk 'conversion'. Kementerian akan turut menyertai ekspo-ekpso francais di peringkat antarabangsa bagi mempromosikan produk-produk francais tempatan ke luar negara.

(v) Menjalankan kajian-kajian bagi menentukan keberkesanan program serta penyelidikan dan pembangunan bagi meningkatkan lagi pencapaian program-program pembangunan perniagaan francais. Ini termasuklah kajian dan penyelidikan pasaran, kajian produk dan kajian premis perniagaan serta penyediaan kurikulum latihan. Ini dilaksanakan dengan kerjasama institusi-institusi pengajian dan penyelidikan tempatan seperti Universiti Utara Malaysia, MEDEC serta syarikat-syarikat yang terlibat dalam kerja-kerja penyelidikan.

(vi) Memberikan latihan dan bimbingan kepada francaisor dan francaisi dari segi latihan teknikal operasi perniagaan produk berkenaan, kursus asas perniagaan francais kepada usahawan-usahawan, pembangunan perundingan kepada juruperunding-juruperunding francais dan mengadakan kursus-kursus di peringkat negeri. Aktiviti ini dilakukan dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia dan institusi-institusi pengajian tinggi seperti Universiti Utara Malaysia dan MEDEC, UiTM.

(vii) Menyediakan skim pembiayaan yang komprehensif kepada francaisor, francaisi induk dan francaisi dalam bentuk pembelian ekuiti, 'loanstock' dan pinjaman biasa. Syarat-syarat permohonan di bawah Skim Pembiayaan Francais yang sedia ada akan dipermudahkan dan lebih banyak panel bank akan dilantik bagi membolehkan lebih ramai usahawan mendapat kemudahan di bawah skim tersebut dan tempoh masa permohonan juga boleh dipercepatkan.

(viii) Mengadakan seminar dan ekspo di peringkat negeri dan juga nasional bagi mempromosikan perniagaan francais kepada usahawan-usahawan tempatan. Kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan serta sektor swasta juga akan turut menyertai seminar dan ekspo di peringkat antarabangsa bagi mempromosikan perniagaan francais tempatan ke peringkat global serta menerbitkan brosur-brosur dan majalah mengenai perniagaan francais.

(ix) Menguatkuasakan Akta Francais 1998 dengan tegas dan berkesan. Akta tersebut digubal dengan tujuan membolehkan kerajaan mengumpul maklumat mengenai syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan francais melalui satu sistem pendaftaran yang teratur, mengawalselia pelaksanaan perniagaan berkonsep francais di Malaysia secara keseluruhannya dan membendung amalan tidak sihat dalam perniagaan francais. Sehingga ini Kementerian telah meluluskan pendaftaran 137 buah syarikat francaisor dan francaisi induk serta pemegang francais pemberi francais asing daripada jumlah keseluruhan permohonan yang diterima iaitu sebanyak 223 permohonan.

6. PENUTUP

6.1. Kementerian menjangkakan perniagaan francais di Malaysia akan berkembang dengan lebih pesat dalam Rancangan Malaysia Kelapan berikutan strategi dan program yang akan dilaksanakan oleh Kementerian secara lebih agresif. Kementerian yakin sasaran untuk membangunkan seramai 1,000 francaisi dalam Rancangan Malaysia Kelapan akan dapat dicapai menjelang akhir tahun 2005.

 

 

 Sumber: Kementerian Pembangunan Usahawan, Franchise International Malaysia, PWTC, 23 Ogos 2001